Patuhi Temu-Janji Imunisasi Anak Anda

MESEJ Minggu Imunisasi Sedunia: Jangan biarkan ketakutan terhadap COVID-19 mendedahkan anak anda kepada penyakit cegahan vaksin yang membawa maut.

Sebagai ibu bapa, tentunya tidak dapat lari dari perasaan bimbang tentang kesihatan anak-anak apabila melihat wabak yang melanda. Kita sedang berhadapan dengan pandemik koronavirus baru (COVID-19) yang merebak dengan pantas ke seluruh dunia. Tidak dapat disangkal lagi, ini merupakan krisis kesihatan global yang buruk pernah terjadi pada masa ini.

Serupa dengan pandemik SARS dan A(H1N1) yang pernah berlaku sebelum ini, COVID-19 merupakan jangkitan virus SARS-CoV-2 yang menyerang sistem pernafasan. Ia sangat mudah berjangkit, merebak dengan cepat, dan boleh membunuh dengan menyebabkan keradangan pada kedua-dua paru-paru serta menyekat penyerapan oksigen ke dalam darah.

Peningkatan jumlah kes COVID-19 di seluruh dunia amat membimbangkan kita. Seruan kerajaan untuk “meratakan lengkungan” merupakan mesej yang cukup meyakinkan kita untuk mematuhi perintah kawalan pergerakan (PKP) dan kekal di rumah. Kita juga perlu mengamalkan penjarakan fizikal apabila berada di luar sekiranya perjalanan tersebut tidak dapat dielakkan seperti pembelian barangan keperluan asas di pasaraya dan kedai.

Malangnya, ketakutan terhadap COVID-19 juga telah menyebabkan sesetengah ibu bapa berhenti atau menangguhkan dari membawa bayi dan anak mereka ke klinik untuk mendapatkan suntikan imunisasi. Persoalan-persoalan seperti “Adakah klinik selamat? Bukankah terdapat pesakit-pesakit COVID-19 di sana? Mungkinkah kita berisiko untuk mendapat COVID-19 ketika berjumpa jururawat dan doktor?” mungkin bermain-main di fikiran para ibu-bapa pada ketika ini.

Walau bagaimanapun, kita juga harus bertanya kepada diri sendiri, “bukankah lebih berisiko jika anak kita terlepas temujanji imunisasi?” Tentunya jawapan kepada soalan tersebut adalah “YA!”. Pada masa ini, imunisasi di bawah Program Imunisasi Kebangsaan melindungi kanak-kanak daripada 12 jenis penyakit merbahaya (penyakit cegahan vaksin). Ini termasuk tuberkulosis, hepatitis B, difteria, tetanus, batuk kokol (pertussis), polio, haemophilus influenzae B, campak, beguk, rubela, ensefalitis Jepun (JE), dan pelbagai kanser yang disebabkan oleh virus papiloma manusia (HPV).

Kesemua vaksin, kecuali HPV, perlu diberikan dalam tempoh 18 bulan pertama kelahiran. Adalah penting bagi ibu-bapa untuk memastikan bayi diberikan kesemua dos yang diperlukan untuk setiap vaksin pada waktu yang ditetapkan. Ini bagi memastikan bayi mendapat perlindungan sepenuhnya.

Sekiranya jadual pemberian imunisasi tidak dipatuhi, bayi akan terdedah kepada bahaya dan mereka tidak akan berupaya mempertahankan diri daripada pelbagai jenis kuman yang cuba menjangkiti tubuh badannya.

Disebabkan ini, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, mengeluarkan kenyataan baru-baru ini, menasihati para ibu bapa agar tidak menunda imunisasi bayi mereka. Beliau memberi jaminan bahawa klinik-klinik kesihatan kerajaan ibu dan anak beroperasi seperti biasa dan menyediakan perkhidmatan imunisasi bayi dan kanak kanak.

TIP-TIP KESELAMATAN

Dr Rozita Binti Ab Rahman, Ketua Penolong Pengarah Kanan di Bahagian Pembangunan Kesihatan Keluarga, Kementerian Kesihatan Malaysia, berkongsi beberapa pandangan dan petua tentang bagaimana ibu bapa boleh membawa bayi mereka ke klinik dengan yakin dan selamat.

Ketua Penolong Pengarah Kanan di Bahagian Pembangunan Kesihatan Keluarga, Kementerian Kesihatan Malaysia, Dr Rozita Binti Ab Rahman

Beliau berkata, “Pertama sekali, ibu bapa perlu mematuhi tarikh temujanji imunisasi yang telah ditetapkan. Kami akan mengaturkan temujanji secara berperingkat untuk semua pesakit. Anda digalakkan untuk sampai tepat pada waktunya, bagi setiap temujanji yang telah ditetapkan. Kerjasama anda akan membolehkan kakitangan menjarakkan lawatan-lawatan ke klinik, seterusnya mengelakkan dari berlaku kesesakan pada satu-satu masa.

“Sebelum bergerak ke klinik, pastikan anda membawa buku rekod imunisasi bayi. Sekiranya anda ditahan polis ketika dalam perjalanan, tunjukkan kepada mereka buku sebagai bukti tujuan perjalanan anda. Pihak polis akan membenarkan anda melepasi sekatan jalan raya.”

Dr Rozita meneruskan, sebagai satu langkah pencegahan, anggota kesihatan akan melakukan saringan untuk anda dan bayi anda. “Apabila anda telah tiba di klinik, kakitangan akan mengambil suhu anda di kaunter triaj. Mereka juga akan bertanya sama ada bayi anda atau anda mempunyai gejala seperti influenza (seperti demam, selsema, batuk, sakit tekak) dan sesak nafas.

“Tambahan, mereka juga akan bertanya samada anda mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara atau pernah berhubung dengan mana-mana pesakit COVID-19. Sila jawab dengan jujur semasa saringan ini.

“Bagi pesakit yang mempunyai gejala, mereka akan dirujuk ke tempat yang dikhaskan untuk saringan dan pengurusan rawatan yang seterusnya. Walau bagaimanapun, sekiranya anda melepasi peringkat saringan ini, anda akan dibenarkan masuk ke klinik selepas itu.

“Sila nyahjangkit tangan anda dengan bahan pencuci tangan (sanitiser) yang dibawa. Jika tiada, sila gunakan bahan pencuci tangan yang tersedia. Sila pastikan anda menjaga jarak fizikal sekurang-kurangnya satu meter daripada pesakit berhampiran ketika menunggu giliran.

“Hanya satu orang – sama ada ibu atau bapa – yang dibenarkan untuk membawa bayi ke dalam bilik imunisasi. Ini adalah penting untuk mengekalkan jumlah orang yang hadir pada tahap minimum dan mengelakkan kesesakan.

“Seperti biasa, bayi masih akan menerima penjagaan peribadi dan perhatian yang terbaik. Walau bagaimanapun, masa yang dihabiskan di klinik adalah lebih singkat. Ibu bapa yang membawa bayi mereka akan dibawa masuk ke bilik rawatan, dapatkan suntikan dan pulang.”

Dr Rozita menambah bahawa kakitangan di klinik kesihatan juga melaksanakan langkah-langkah pencegahan untuk mengurangkan risiko penyebaran COVID-19. Ini termasuklah memakai kelengkapan perlindungan diri pada setiap masa yang terdiri daripada alat penutup mulut dan hidung, sarung tangan dan apron (dengan atau tanpa pelindung muka). Mereka juga menggunakan bahan pencuci tangan dengan kerap dan menjaga kebersihan diri pada setiap masa.

Tambahan beliau, “Walau apa pun, ibu bapa akan merasa lebih tenang mengetahui bahawa tidak semua klinik kesihatan menjalankan pengambilan sampel untuk pengesanan COVID-19. Hanya klinik-klinik tertentu sahaja yang terlibat.”

Dr Rozita turut mendorong para ibu bapa yang terlepas tarikh temujanji imunisasi anak-anak mereka semasa tempoh PKP untuk menghubungi klinik kesihatan masing-masing bagi mendapatkan tarikh temujanji yang baharu.

Beliau turut menasihati ibu bapa yang masih di kampung dan tidak dapat pulang ke rumah untuk membawa anak-anak mereka ke klinik kesihatan kerajaan yang berdekatan bagi mendapatkan suntikan imunisasi.

Beliau menyimpulkan bahawa: “Kami risau akan penularan penyakit cegahan vaksin sekiranya kanak-kanak tidak mendapat imunisasi tepat pada waktunya. Jadi, kami berharap ibu bapa tidak melengahkan atau berhenti dari membawa anak-anak mereka ke klinik.

“Kita seharusnya mengambil manfaat perlindungan yang diberikan oleh imunisasi dan menjaga keselamatan anak-anak kita daripada penyakit-penyakit cegahan vaksin yang tidak kurang bahayanya.”

Pengerusi program Immunise4Life, Datuk Dr Zulkifli Ismail

Pengerusi program Immunise4Life, Datuk Dr Zulkifli Ismail turut mendorong para ibu bapa untuk terus mematuhi jadual imunisasi walaupun dalam tempoh pelaksanaan PKP.

Datuk Dr Zulkifli, juga seorang Pakar Perunding Pediatrik dan Kardiologi Pediatrik berkata, “Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) baru-baru ini mengeluarkan kenyataan dengan memberi amaran bahawa gangguan terhadap aktiviti imunisasi rutin meskipun untuk satu jangka waktu yang singkat akan meningkatkan tercetusnya penyakit cegahan vaksin. Ini termasuklah campak, difteria, batuk kokol dan lain-lain.”

Menurut Datuk Dr Zulkifli, keputusan KKM untuk meneruskan perkhidmatan imunisasi rutin semasa PKP adalah selaras dengan cadangan WHO. Bagaimanapun, jangkitan COVID-19 di negara kita adalah masih terkawal dan kapasiti sistem kesihatan kekal utuh.

“Namun, jika ibu bapa mahu, mereka mempunyai pilihan untuk membawa anak mereka ke klinik swasta untuk mendapatkan imunisasi,” kata beliau.

Dr Rozita dan Datuk Dr Zulkifli kedua-duanya bersetuju bahawa memutuskan rantaian COVID-19 adalah penting. Walau bagaimanapun, adalah sama pentingnya untuk ibu bapa terus melindungi anak-anak mereka daripada penyakit-penyakit cegahan vaksin.

Artikel ini dibawakan oleh program Immunise4Life oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, Persatuan Pediatrik Malaysia dan Persatuan Penyakit Berjangkit & Kemoterapi Malaysia dan disokong oleh inisiatif ‘Vaccination is Protection for Kids’. Untuk maklumat lanjut, layari www.ifl.my

Loading...