Patuhi Langkah Kerajaan Singapura Cegah Koronavirus

32

SINGAPURA – Rakyat Malaysia yang berada di Singapura diminta mematuhi langkah-langkah yang disenaraikan oleh kerajaan republik itu dalam membantu usaha mencegah penularan jangkitan koronavirus.

Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura, Datuk Zainol Rahim Zainuddin turut menasihatkan rakyat Malaysia agar terus menjaga kesihatan, khususnya selepas Singapura menaikkan tahap respons wabak penyakit (Dorscon) kepada Jingga.

“Jaga kesihatan.. jika tidak sihat, ambil langkah segera berjumpa doktor,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di luar acara Singapore Airshow 2020 di sini hari ini.

Kira-kira 300,000 rakyat Malaysia memasuki Singapura setiap hari.

Pada 7 Februari lepas, Singapura meningkatkan tahap respons wabak penyakit daripada kategori Kuning kepada Jingga berikutan penambahan kes jangkitan yang tiada kaitan dengan kes-kes sebelum ini atau sejarah perjalanan ke China baru-baru ini.

“Kurangkan tempoh berada di tempat tumpuan orang ramai bagi mengelak jangkitan. Ikut nasihat yang dikeluarkan oleh kerajaan Singapura mengenai apa yang perlu dibuat dalam keadaan mereka hadapi masalah ketika ini,” tambahnya.


Setakat hari ini, Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) mengesahkan dua lagi kes positif novel koronavirus dikesan di republik itu, menjadikan angka keseluruhan jangkitan berjumlah 45 kes.

Ketika ini jumlah jangkitan tempatan adalah 23 kes.

Pejabat pesuruhjaya tinggi berkenaan sebelum ini menggalakkan rakyat Malaysia yang bekerja atau menetap di republik itu supaya mendaftar dengan pejabat pesuruhjaya tinggi menerusi laman web https://www.kln.gov.my/web/sgp_singapore/malaysian_reg.

“Pendaftaran di pejabat pesuruhjaya tinggi akan membolehkan kami menghubungi anda atau keluarga anda sekiranya berlaku sebarang kecemasan,” katanya menerusi catatan Facebook.