Patuh Kepada Keputusan Berjemaah – Abdul Hadi

KUANTAN – Kepemimpinan dan ahli PAS dinasihatkan supaya patuh kepada keputusan yang dibuat secara berjemaah menjelang pemilihan parti itu sempena Muktamar Tahunan PAS Ke-65 di sini hujung bulan ini.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, berada dalam parti bermakna kepemimpinan dan ahlinya perlu mengamalkan konsep berjemaah yang lebih besar dan mencabar.

“Kalau solat berjemaah kita mesti ikut imam. Kalau imam silap kita boleh tegur selagi tak batal solat. Jangan tolak imam dan ambil alih imam kerana dia silap, itu satu benda yang salah dari segi solat jemaah.

“Berjemaah dalam parti ini lebih besar dan mencabar sebab itu kita kena sedar khususnya dalam politik Islam ini, ada perkara dasar yang kita tidak boleh pertikaikan seperti asas perjuangan kita dan akidah. Ini tidak boleh kita berbeza dan bergaduh sama sekali, mesti berpegang teguh kepada Majlis Syura Ulama yang mengendalikan parti kita dengan sebaik-baiknya. Alhamdulillah,” katanya dalam kenyataan yang diulang siar menerusi laman sesawang http://muktamar.pas.org.my semalam.

Pemilihan jawatan kuasa tertinggi PAS akan diadakan pada 21 Jun ini dan keputusan diumumkan pada 23 Jun yang mana Abdul Hadi dan dan Timbalannya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menang tanpa bertanding selepas tiada yang menawarkan diri bertanding untuk dua jawatan berkenaan.

Bagi jawatan Naib Presiden, empat nama melepasi syarat untuk bertanding iaitu tiga penyandang sebelum ini, Idris Ahmad, Datuk Nik Mohd. Amar Abdullah dan Datuk Iskandar Abdul Samad manakala seorang lagi calon ialah Menteri Besar Terengganu, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.

Bagi Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat pula bakal menampilkan muka baharu yang menang tanpa bertanding selepas penyandang sebelum ini, Muhammad Khalil Abdul Hadi tidak bertanding untuk jawatan berkenaan dan jawatan Ketua Dewan Muslimat PAS kekal disandang Nuridah Mohd. Salleh yang juga menang tanpa bertanding.

Seramai 29 calon menawarkan diri bertanding jawatan Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS, 16 calon AJK Dewan Pemuda PAS dan 17 calon Dewan Muslimat PAS.

Muktamar Tahunan PAS Ke-65 akan diadakan pada 21 Jun hingga 23 Jun ini di Dewan Sukpa, Muktamar Dewan Pemuda PAS Pusat pada 19 Jun hingga 20 Jun di Pusat Konvensyen Bukit Gambang Resort City (BGRC) dan Muktamar Dewan Muslimat PAS Pusat (15 Jun) di BGRC.

Muktamar Dewan Ulama PAS Pusat pula akan diadakan pada 20 Jun di Wisma Belia Indera Mahkota di sini.

Dalam soal berkenaan, Abdul Hadi turut menyentuh tentang perkara berkaitan dengan ‘mutaghayyirat’ yang boleh berubah mengikut keadaan, situasi dan realiti.

Kata beliau, ia perkara besar kerana berkait dengan strategi politik dan bagaimana hendak menangani isu-isu semasa yang perlu dibuat dengan cara bijaksana.

“Memang kita tidak ada tokoh seperti Nabi Muhammad SAW dan Khulafa’ Rasyidin, tetapi kita boleh membentuk ketokohan secara berjemaah dan kolektif. Jadi bila sudah membuat satu keputusan jemaah, kita mesti patuh pada keputusan itu.

“Saya menyaksikan bagaimana mereka yang istiqamah dengan keputusan parti walaupun mereka tidak setuju dalam pandangan-pandangan dia, tetapi bila parti buat keputusan dia tetap patuh, tetap hadir dan bersama dengan parti seperti Almarhum Ustaz Hassan Syukri dan lain-lain,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Loading...