Patriot Cadang Letak Calon Bebas Lawan Anwar!

KUALA LUMPUR – Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) membantah tindakan Ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) Port Dickson, Datuk Danyal Balagopal…

KUALA LUMPUR – Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) membantah tindakan Ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) Port Dickson, Datuk Danyal Balagopal Abdullah yang juga bekas pegawai kanan tentera mengosongkan kerusi Parlimen tersebut.

Presidennya, Datuk Mohamad Arshad Raji mendakwa perbuatan Danyal mengosongkan kerusi Parlimen Port Dickson bagi membolehkan Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding Pilihan Raya Kecil (PRK) di situ merupakan satu pengkhianatan kepada pengundi Port Dickson.

“Danyal – anda telah mengkhianati kepercayaan pengundi anda. Danyal cuma secebis daripada papan catur yang digunakan dalam permainan politik untuk memudahkan partinya (PKR).

“Inilah cara veteran (tentera dan polis) dan Patriot melihat permainan ini dimainkan. Kami kecewa dengan peletakan jawatannya sebagai wakil yang dipilih ke Parlimen,” tegasnya dalam satu kenyataan media hari ini.

Patriot yang mendakwa memperjuangkan nasib golongan veteran tentera dan polis merupakan salah sebuah pertubuhan pro-Pakatan Harapan yang mengkritik kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Mohamad Arshad berkata, veteran tentera dan polis berasa lebih kecewa memandangkan agak banyak sumbangan diberikan untuk dana kempen Danyal sewaktu PRU14 apabila beliau diumumkan sebagai calon Parlimen Port Dickson.

Kata beliau, Patriot dan veteran lain telah berkempen untuk beliau dan menyambut kemenangan bekas Laksamana tentera itu dalam PRU14, tetapi Danyal kemudian tanpa masuk akal melepaskan kerusi Parlimen tersebut.

Tambah beliau, Danyal memberi jaminan akan terus berkhidmat di Port Dickson, tetapi ada perbezaan antara mereka yang bercakap sebagai Ahli Parlimen dan sebagai pegawai yang berkhidmat di bawah Ahli Parlimen.

Jelas beliau, isu berkaitan tentera serta kebajikan veteran dan polis perlu diartikulasikan di Parlimen, tetapi suara itu telah hilang selepas Danyal melepaskan kerusi Parlimen Port Dickson.

“Patriot tidak menentang pencalonan Anwar. Kami malah berharap yang terbaik untuk bakal Perdana Menteri itu. Patriot hanya menentang cara Danyal melepaskan jawatan untuk memberi laluan kepada Anwar.

“Kami menyatakan kekecewaan ramai veteran yang dikemukakan melalui media sosial dan turut meminta menghantar seorang pegawai bersara untuk bertanding sebagai calon bebas dalam PRK Port Dickson jika terpaksa,” katanya. – MYNEWSHUB.TV

Loading...