Patrick Teoh Direman Dua Hari Lagi

JOHOR BAHRU – Reman ke atas pelakon dan penyampai radio, Patrick Teoh disambung dua hari lagi bagi membantu siasatan berhubung memuat naik kenyataan jelik terhadap Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim di laman sosial Facebook miliknya.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, tempoh tahanan reman tiga hari ke atas Teoh, 73, berakhir hari ini disambung bermula esok hingga Khamis ini.

“Patrick Teoh tadi kita sudah bawa ke majistret (Mahkamah Majistret Johor Bahru), kita dapat dua hari lagi reman disambung sehingga hari Khamis pada 14 Mei.

MATI PUCUK? DAPAT RAWATAN SEGERA… KLIK

“Kita akan terus menjalankan siasatan. Ada sedikit sudah mula beri kerjasama mungkin kena tambah sikit lagi akan bagi kerjasama sepenuhnya,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.

Terdahulu, Patrick Teoh direman tiga hari bermula 10 Mei bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan dan Multimedia 1998 kerana memuat naik kenyataan jelik terhadap Tunku Ismail di laman sosial Facebook Khamis minggu lalu.

Penahanan terhadap Teoh dilakukan selepas polis menerima laporan pada 8 Mei daripada orang awam ekoran kenyataan di Facebook milik Patrick Teoh yang bertujuan menghina dan menyakitkan hati terhadap TMJ dan Institusi Diraja Johor.

Susulan laporan itu, sepasukan polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor telah membuat tangkapan terhadap suspek di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, Selangor pada Rabu minggu lalu.

Peguam Teoh, Datuk Seri Rajan Navaratham mengesahkan anak guamnya ditahan ketika hadir memberi kenyataan di IPD Petaling Jaya.

Menurut peguamnya itu, Teoh didakwa memainkan semula video yang disiarkan Tunku Ismail tahun lalu yang menunjukkan TMJ dan individu lain berpakaian tentera yang mengendalikan senjata.

Teoh dipercayai berkongsi video berkenaan pada Khamis lalu (7 Mei) dan menggunakan kata-kata tidak senonoh ketika dia mengulasnya di laman sosial Facebook peribadinya.

Loading...