Pasukan Pendakwan Pertikai Permohonan Najib

PUTRAJAYA – Pasukan Pendakwaan memaklumkan Mahkamah Rayuan hari ini, mereka telah menyerahkan sebanyak 31 jilid dokumen mengandungi hampir 6,500 muka surat yang akan digunakan sebagai bukti dalam kes perbicaraan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berhubung tuduhan pecah amanah dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) membabitkan SRC International Sdn. Bhd.

Timbalan Pendakwa Raya yang dilantik Pejabat Peguam Negara, Datuk V Sithambaram berkata, dokumen-dokumen itu diserahkan mengikut Seksyen 51 (A) Kanun Acara Jenayah (KAJ) kepada pihak pembelaan.

Sithambaram berkata, pasukan pendakwaan tidak boleh menyerahkan dokumen lain yang tidak diperuntukkan mengikut undang-undang tersebut kepada pasukan pembelaan seperti dipohon pasukan peguam perayu (Najib).

“Tiada asas dalam undang-undang bagi membenarkan rayuan yang dikemukakan pasukan pembelaan yang memohon semua dokumen siasatan kes pecah amanah dan salah guna kedudukan berhubung dana SRC International Sdn. Bhd. dihadapinya, diserahkan kepada pasukan pembelaan,” ujarnya.

Tambahnya, sekiranya perintah yang dipohon dibenarkan mahkamah, bermakna pihak pendakwaan perlu menyerahkan kepada peguam bela kertas siasatan yang diperoleh pegawai penyiasat dalam siasatan kes SRC International mengikut Seksyen 30(9) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Seksyen 40 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA).

Sithambaram berkata, rayuan yang dikemukakan perayu (Najib) adalah berhubung penyerahan dokumen daripada pihak pendakwaan kepada pihak pembelaan sebelum perbicaraan kes bermula, ianya bukan rayuan mengenai sama ada dokumen boleh diterima atau tidak ketika prosiding perbicaraan seperti dinyatakan peguam.

Sithambaram berhujah demikian dalam pendengaran empat rayuan interlokutori yang dikemukakan Najib di Mahkamah Rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berhubung perintah larangan (gag order) tehadap media dan orang ramai daripada membincangkan dan menerbitkan kenyataan mengenai merit kesnya.

Najib turut merayu keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya untuk mendapatkan dokumen dan kenyataan saksi membabitkan kes dihadapinya serta rayuan terhadap pelantikan Datuk Sulaiman Abdullah mengetuai pendakwaan dan rayuan mengenai sijil pindah kes daripada Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi oleh pendakwaan.

Najib hadir ke mahkamah diwakili peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dan Harvinderjit Singh.

Dalam pada itu, Muhammad Shafee memohon hujahannya ditangguhkan, kerana kurang sihat susulan tulang pergelangan tangan kirinya mengalami keretakan selepas seekor anjing peliharaannya melompat ke arahnya semalam.

Muhamad Shafee berkata, beliau perlu mendapatkan rawatan dan nasihat doktor sebelum mencadangkan supaya pendengaran kes itu disambung Jumaat.

Permohonan itu bagaimanapun mendapat reaksi kurang senang daripada Peguam Negara, Tommy Thomas yang membantah permohonan itu.

Tegasnya, Pejabat Peguam Negara menerima tekanan daripada banyak pihak termasuk dari dalam luar negara yang memerhati perjalanan kes dan mahukan perbicaraan kes tersebut dijalankan segera.

“Semua orang mahu perbicaraan bermula seawal esok. Ada tekanan berat ke atas pasukan pihak pendakwaan. Seluruh dunia sedang memerhati dan mahu melihat perbicaraan kes ini,” katanya.

Panel tiga hakim yang dipengerusikan Datuk Zabariah Mohd Yusof, Datuk Rhodzariah Bujang dan Datuk Lau Bee Lan kemudian menetapkan Jumaat untuk Muhammad Shafee menyambung hujah. – Sinar Harian

Loading...