Pasukan Inkues Adib Lawat Van EMRS

SUBANG JAYA – Pasukan inkues kematian Muhammad Adib Mohd Kassim hari ini ke Balai Bomba Subang Jaya bagi melihat semula keadaan van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) yang terlibat pada malam rusuhan di kuil Sri Maha Mariamman tahun lalu.

Perkara itu diputuskan Koroner Rofiah Mohamad selepas Pegawai Pengendali Inkues, Hamdan Hamzah membuat permohonan untuk membuat lawatan bersama-sama dengan bekas Pakar Forensik, Profesor Dr Shahrom Abd Wahid yang merupakan saksi ke-29.

Menurut Pegawai Pengendali Inkues, Faten Hadni Khairuddin, lawatan itu bertujuan mencapai keputusan adil.

“Kita nak lawat semula untuk capai keputusan adil untuk semua pihak tengok kenderaan itu, terutamanya di bahagian pintu, ada kaitan dan semua (pasukan) perlu ke sana,” katanya.

Pihak media tidak dibenarkan berada di lokasi semasa perbincangan berlangsung kerana ia merupakan di luar prosiding mahkamah.

Terdahulu pihak pengendali inkues bersama pakar forensik tiba di Balai Bomba Subang Jaya kira-kira jam 11.30 pagi.

Rofiah menetapkan prosiding bersambung semula esok jam 9.30 pagi.

Media sedang menantikan proses melihat semula kenderaan bomba itu selesai sekiranya terdapat maklumat lanjut. – MalaysiaGazette

Loading...