Pasukan Azmin Jumpa Agong Esok

KUALA LUMPUR – Kumpulan Ahli Parlimen PKR yang diketua bekas Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dijadualkan menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, esok.

Perkara itu disahkan oleh Ahli Parlimen Ampang yang juga bekas Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin, ketika dihubungi, hari ini.

“(Kami) belum (ke Istana Negara). Giliran kami esok,” katanya ringkas ketika ditanya sama ada kumpulannya akan bergerak ke Istana Negara hari ini untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong.

Selain Zuraida, kumpulan itu turut disertai Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Saifuddin Abdullah; Ahli Parlimen Selangau, Baru Bian dan Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Kamaruddin Jaffar.

Selain itu, Ahli Parlimen Nibong Tebal, Datuk Mansor Othman; Ahli Parlimen Batu Pahat, Datuk Rashid Hasnon, Ahli Parlimen Segamat, Datuk Seri Dr Santhara Kumar; Ahli Parlimen Saratok, Ali Biju dan Ahli Parlimen Puncak Borneo, Willie Mongin dan Ahli Parlimen Ranau, Jonathan Yasin.

Terdahulu, Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin memaklumkan 90 ahli parlimen akan menghadap Yang di-Pertuan Agong hari ini untuk ditemu bual, sebelum baki 131 Ahli Parlimen akan dipanggil menghadap esok.

Temu bual itu dilakukan untuk baginda mendapatkan kepercayaan dan keyakinan untuk memilih individu yang akan dilantik sebagai perdana menteri yang baharu.

Mohamed Azmin dan Zuraida dipecat daripada PKR semalam, atas dakwaan melakukan pengkhianatan secara terbuka selepas melakukan pertemuan dengan pemimpin UMNO, PAS dan BERSATU, selain bertentangan dengan pendirian parti dalam isu peralihan kuasa. – BH Online

Loading...