Pastikan Larangan Merokok Dipatuhi

KUALA LUMPUR – Marah bercampur geram! Kalau diikutkan hati hendak sahaja penulis menghampiri perokok yang begitu asyik menghembuskan asap rokoknya tanpa sedikit pun memperdulikan pelanggan lain yang sedang menikmati makanan mereka.

Mahu sahaja juga penulis mencabut puntung rokok dari jarinya!

Penulis pasti ramai yang tidak selesa dengan lagak mementingkan diri si perokok itu tambahan ada yang membawa anak serta ayah dan ibu mereka mengunjungi restoran berkenaan.

Situasi yang sungguh tidak menyenangkan ini memang lumrah, boleh dilihat di kebanyakan premis seperti gerai, warung malah restoran. Ini tidak mengambil kira lagi di perhentan bas, di tepi jejantas, di taman awam malah di dalam pejabat.

Biarpun agak tertekan dengan keadaan sedemikian, namun untuk tidak mahu mencetuskan sebarang keadaan yang mungkin mengundang “kejadian yang bukan-bukan”, penulis mengambil sikap ‘angkat kaki’ dan berpindah ke meja yang jauh daripada si perokok. Yalah, bukan semua boleh ditegur apatah lagi kalau perokok itu orang muda yang mungkin nanti naik berang dan lain pula ceritanya.

Realitinya, menghidu dan menyedut asap rokok dalam keadaan terpaksa yang terpaksa ditempuhi pengunjung bukan perokok ketika menjamu selera di restoran, gerai mahupun warung terbuka bukanlah senario atau isu baharu.

Perkara ini sudah lama berlaku dan tidak keterlaluan untuk menyatakan, merokok di premis berkenaan sudah menjadi budaya masyarakat di negara ini. Meskipun, bukan semua yang suka menghadap perokok, apatah lagi menghidu serta menyedut asap rokok mereka.

Cuma, apa pilihan yang mereka ada? Untuk makan di tempat yang mengasingkan kumpulan perokok dan sebaliknya, biasanya harga di ruang makan sebegitu agak mahal dan bukan semua yang berkemampuan.

Berbanding gerai, warung mahupun restoran terbuka yang menawarkan harga kurang daripada RM10 untuk satu menu, ia sentiasa menjadi tumpuan ramai khususnya masyarakat bandar yang tidak ada masa untuk meluangkan masa kerana sibuk dengan tuntutan tugas harian.

Penulis tahu bukan semua perokok tidak menghormati individu lain kerana ada juga yang patuh arahan tidak merokok di kawasan larangan yang diwartakan atau memastikan tabiat merokok mereka tidak mengganggu orang lain. Bagaimanapun, boleh dikatakan masih ramai lagi yang tidak ambil kisah mengenai perkara ini kerana sikap hanya memikirkan hak mereka sebagai seorang perokok sahaja.

Tetapi, sampai bila situasi sebegini harus berlaku? Sampai bila, individu tidak merokok sahaja yang perlu menghormati golongan perokok?

Walhal, bukankah budaya hormat-menghormati ini sepatutnya sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan masyarakat kita, tanpa perlu ditegur, tanpa perlu diadakan kempen!

Penulis bukanlah anti perokok kerana turut mempunyai kawan sama ada lelaki mahupun perempuan dalam kalangan perokok. Biarpun demikian, kebanyakan rakan penulis yang merokok memahami dan tidak akan merokok apabila keluar bersama. Sekiranya mereka hendak merokok, biasanya mereka akan pergi jauh dari ruang makan dan tidak akan berada berdekatan dengan orang awam khususnya kanak-kanak.

Bukan sahaja merokok sesuka hati bahkan ada juga sesetengah perokok yang lantang mempertikaikan mengapa hanya asap rokok dijadikan isu pencemaran sedangkan banyak lagi asap lain seperti motosikal, kereta dan sebagainya yang perlu diberi perhatian.

Perkara ini kalau hendak didebatkan sememangnya tiada kesudahan, maka penulis amat berasa lega apabila kerajaan memutuskan untuk mengisytiharkan semua restoran termasuk gerai dan warung di tepi jalan di seluruh negara sebagai kawasan larangan merokok mulai 1 Jan 2019.

Penulis pasti ramai yang berkongsi rasa kelegaan ini kerana ia sudah tentu langkah positif bagi mewujudkan persekitaran yang lebih sihat.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye baru-baru ini dipetik berkata setakat ini, larangan itu hanya berkuatkuasa untuk restoran makanan yang berhawa dingin, bangunan kerajaan, taman awam, lif termasuk kenderaan awam.

Terdapat 23 jenis kawasan larangan merokok setakat ini yang diwartakan menerusi Peraturan 11 Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 dan kawasan-kawasan lain yang diwartakan mengikut Peraturan 22 peraturan sama untuk program Bandar Bebas Asap rokok.

“Kementerian Kesihatan boleh mengambil tindakan tegas (terhadap orang awam dan premis makanan) mengikut Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 di bawah Akta Makanan 1983 (Akta 324) jika didapati bersalah merokok di tempat larangan merokok,” kata Dr Lee dalam satu laporan akhbar.

Ada sebab penting mengapa keputusan ini diambil dan ia bukanlah sekadar menghormati hak pelanggan bukan perokok untuk menjamu makanan dengan penuh selesa. Isu penting di sini ialah kesihatan.

Dr Lee dipetik berkata langkah tersebut diambil adalah bagi memastikan rakyat di negara ini terhindar daripada penyakit yang berpunca daripada asap rokok.

Ini kerana, data menunjukkan 35 peratus kematian di hospital awam adalah penyakit yang berkaitan dengan asap rokok seperti jangkitan paru-paru, kanser, jantung dan lain-lain, menurut Perunding Keselamatan dan Kesihatan Awam Mohd Sofian Osman dalam satu laporan berita.

Rokok dilaporkan mengandungi 7,000 kimia termasuk kimia yang dikenali sebagai ‘carcinogenic’, asid asetik, ammonia, arsenik, plumbum, nikotin dan banyak lagi. Sesiapa yang terdedah kepada asap rokok sama ada secara aktif mahupun pasif boleh terkesan.

Antaranya boleh memudaratkan janin dalam kandungan ibu sehingga boleh mengakibatkan keguguran, kecacatan bayi dan kelahiran bayi pramatang. Manakala kanak-kanak yang terdedah mudah mendapat jangkitan telinga sementara orang dewasa berisiko mendapat pelbgai jenis kanser antaranya barah paru-paru.

Biarpun demikian, persoalan paling penting adalah bagaimana hendak memastikan setiap restoran terbuka ini benar-benar bebas merokok setelah peraturan itu dilaksanakan? Di beberapa kawasan larangan merokok yang diwartakan sebelum ini pun masih ramai yang berani merokok secara terang-terangan.

Dalam hal ini, pemantauan dan penguatkuasaan mungkin perlu diperkasakan lagi selain mewujudkan satu aplikasi yang membolehkan rakyat menjadi ‘mata-mata’ untuk menyalurkan informasi mereka yang melanggar peraturan..

Mungkin juga dengan kenaikan harga rokok runcit yang dilaporkan akan dilaksanakan akhir Oktober akibat pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (SST) dapat mengurangkan jumlah perokok atau kuantiti rokok yang dihisap. Kenaikan ini dilaporkan meliputi semua jenama rokok.

Apa pun, kita hanya boleh tunggu dan lihat. Kita juga perlu lebih proaktif membantu pihak berkuasa memastikan larangan merokok ini benar-benar dipatuhi.

Disunting oleh Melati Mohd Ariff – BERNAMA

Loading...