Pasaran Hartanah Kekal Mencabar

KUALA LUMPUR – Unjuran ke atas pasaran hartanah dijangkakan terus mencabar dengan bekalan melebihi permintaan, menurut Kenanga Research hari ini.

Firma penyelidikan itu berkata, pemaju hartanah terus melancarkan hartanah baru bagi mengekalkan perjalanan operasi perniagaan mereka, namun bilangan unit dalam pembinaan yang tidak terjual, dijangka menambah tahap inventori hartanah siap sedia ada.

Bagi permintaan, hanya terdapat sebilangan kecil pembeli hartanah memandangkan harga dirasakan masih belum mampu milik secara meluas, terutama dalam persekitaran ekonomi semasa yang suram, katanya.

“Kami menjangkakan syarikat hartanah akan meningkatkan pemasaran mereka secara agresif bagi membantu menghabiskan inventori.

“Bagi meningkatkan keuntungan, pemaju mungkin memanfaatkan aset tidak strategik mereka, termasuk menjual tanah terpilih,” kata Kenanga Research dalam notanya hari ini.

Ia berkata, kemungkinan ada peluang untuk pelabur mengumpul hartanah terpilih yang mampu pulih semula daripada tekanan penilaian.

Kenanga yakin kerajaan akan terus menggalakkan pemilikan kediaman bagi merangsang pasaran hartanah dan ekonomi, susulan berakhirnya kempen pemilikan rumah pada Disember 2019.

Dalam Belanjawan 2020, kerajaan memberi insentif dalam bentuk pengurangan had harga hartanah bangunan tinggi di kawasan bandar untuk pemilikan warga asing daripada RM1 juta kepada RM600,000, dengan sasaran untuk mengurangkan hartanah bangunan tinggi yang tidak terjual, namun hanya terpakai untuk hartanah siap yang tidak terjual di kawasan bandar.

Kerajaan juga memperkenal skim pembiayaan sewa-Milik (RTO) bagi membantu pembeli berpotensi membeli rumah pertama berharga kurang daripada RM500,000 menerusi perjanjian sewa 5 tahun dengan opsyen untuk membelinya selepas tahun pertama, pada harga tetap.

Kenanga Research berkata, tumpuan pelabur adalah pada tahap inventori dan lembaran imbangan memandangkan tahap inventori akan kekal tinggi.

“Sebaliknya, syarikat hartanah menawarkan diskaun dan insentif bagi menambah baik aliran tunai dan mengurangkan jumlah hartanah tidak terjual.

“Di sebelah pihak lagi, syarikat akan melancarkan projek baru bagi mengekalkan jualan dan meneruskan perniagaan masing-masing, dengan unit baru akan terus menambah kepada hartanah tidak terjual.

“Berlatarbelakangkan persaingan yang sengit di tengah-tengah lambakan hartanah, aliran tunai sangat penting khususnya bagi syarikat hartanah dengan nisbah hutang tinggi,” katanya.

Loading...