Pasangan Warga Emas Maut Kereta Terbabas

GERIK – Pasangan warga emas maut manakala dua yang lain cedera termasuk seorang parah dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 71.1 Jalan Kuala Kangsar-Gerik di Lawin dekat sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian pada kira-kira jam 7 malam itu, Mohamed Rashid Mat Desa, 92, dan isterinya, Fatimah Isa, 83, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

Ketika kejadian, kedua-dua mangsa duduk di bahagian tempat duduk penumpang belakang.

Pemandu kereta jenis Myvi itu yang berusia 22 tahun dari FELDA Papulut, Lawin dan bekerja sebagai operator pengeluaran, cedera parah dan dihantar ke Hospital Taiping untuk rawatan lanjut.

Penumpang depan pula yang berusia 22 tahun dari Kampung Tengah Gelok, Lenggong yang bekerja sebagai operator kilang mengalami kecederaan ringan di bahagian telinga.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Ismail Che Isa, berkata ketika kejadian keempat-empat mangsa dalam perjalanan dari arah Gerik ke Kampung Gelok, Lenggong.

Katanya, ketika hampir di tempat kejadian kereta berkenaan dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan terbalik ke dalam longkang di sebelah jalan menyebabkan keadaan kenderaan remuk teruk.

“Akibat kemalangan itu, pasangan warga emas yang menumpang kereta itu meninggal dunia di tempat kejadian.

“Kedua-dua suami isteri itu dihantar ke Hospital Gerik untuk bedah siasat sebelum dibawa pulang kampung mereka di Kampung Gerik untuk dikebumikan semalam,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Loading...