Pasangan Kekasih Dikecam Bergayut Luar Kereta Api

PASANGAN kekasih yang mengecapi populariti dengan berkongsi gambar percutian luar biasa mereka di seluruh dunia telah dikritik kerana berkongsi gambar mereka bergantung di luar sebuah kereta api.

Blogger Portugal, Raquel dan Miguel yang yang menggunakan Explorerssaurus berkongsi dua foto daripada perjalanan mereka merentasi Sri Lanka.

Dalam gambar tersebut, mereka berdua tergantung di luar kereta api sambil memegang palang.

Kereta api itu bergerak di atas jambatan dan kelihatan sangat tinggi dari aras tanah.

Ramai yang telah mengecam pasangan itu kerana memuat naik gambar tersebut yang dianggap berbahaya kerana khuatir jika ada orang lain meniru perbuatan mereka.

Seorang pelayar Instagram dengan marahnya menulis: “Gambar yang sungguh tidak bertanggungjawab! Malu melihat orang yang akan melakukan apa sahaja demi media sosial malahan sanggup membahayakan nyawa mereka!!”

Seorang pelayar Instagram lain menambah: “Kalian fikirkan tentang perkara ini! Berapa ramai orang akan mencuba aksi ini tanpa langkah-langkah keselamatan.

“Saya tidak fikir ini harus berada di media sosial dan tidak syak lagi ia adalah gambar yang menakjubkan, tetapi ia tidak semestinya berada di media sosial.”

Tetapi pengguna media sosial yang lain menyukai gambar tersebut dan mempertahankan pasangan itu.

Seorang daripadanya menulis: “Saya harus mengatakan, sebagai seorang pengikut, bahawa gambar ini tidak mempunyai sebarang kesalahan, mereka tidak bertanggungjawab ke atas sesiapa, jika orang lain akan mencuba ‘posisi’ ini, ia adalah tanggungjawab mereka sendiri, noktah.

“Tiada orang yang harus dipertanggungjawabkan dengan kesalahan sendiri.” – Mirror UK

Loading...