Pasangan Kekasih Didakwa Bunuh Warga Bangladesh

PETALING JAYA – Sepasang kekasih didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan membunuh seorang warga Bangladesh di sebuah pangsapuri, awal bulan ini.

Ahmad Najmi Naim Ahmad Jeffrey dan Intan Farah Nur Ain Muhamad Zawawi, masing-masing berusia 21 tahun hanya mengangguk tanda faham selepas pertuduhan ke atas mereka dibacakan secara bersama-sama di hadapan Majistret Nor Ariffin Hisham.

Tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada mereka kerana kes bunuh adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi. Kelihatan ahli keluarga kedua-dua tertuduh hadir di mahkamah.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh yang masing-masing tinggal di pangsapuri tersebut, bersama-sama dengan tiga lagi yang masih bebas dalam mencapai niat bersama didakwa telah membunuh seorang lelaki bernama Jamal.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di Pangsapuri Mentari Court, Bandar Sunway, di sini, antara 6 dan 7 pagi, 3 Dis lalu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Alia Sumayyah Amran tidak menawarkan sebarang jaminan kerana kesalahan itu tidak boleh dijamin manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam dan mahkamah tidak membenarkan mereka diikat jamin serta menetapkan 25 Jan depan untuk sebutan semula kes.

Difahamkan, kejadian berpunca daripada warga asing tersebut yang didakwa cuba mencabul salah seorang penduduk di pangsapuri tersebut. – BERNAMA

Loading...