Tuah Pasangan Backpacker Nikmati Penerbangan Peribadi

INI memang jarang-jarang berlaku dalam perkhidmatan penerbangan apabila pasangan pengembara backpacker ini menikmati perjalanan dalam kapal terbang tanpa penumpang selain hanya mereka berdua.

Kyle McNicol dan Carrie Fisher tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Krabi di Thailand dan mendaftar masuk untuk ke Pulau Pinang menggunakan penerbangan dari sebuah syarikat udara tambang murah di negara ini.

Mereka terkejut apabila penjaga kaunter memberitahu itu adalah penerbangan istimewa untuk mereka berdua.

Pasangan pelancong itu tidak menyangka sehingga mereka menaiki pesawat yang kosong tanpa penumpang lain.

“Ini adalah penerbangan terbaik yang pernah saya naiki. Para petugas pada mulanya kekok kerana mungkin  kali pertama menghadapi situasi seperti ini, tetapi mereka semua hebat,” kata Carrie dalam blognya.

The Telegraph melaporkan staf mula ketawa bersama mereka selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dan bertanyakan mengenai penerbangan solo mereka.

Perkara yang sama turut berlaku awal tahun ini apabila seorang penumpang wanita dari China bertuah apabila menikmati penerbangan Boeing 737 tanpa ditemani oleh penumpang lain.

Penumpang bernama Zhang, mempunyai tiket untuk penerbangan dari Wuhan ke Guangzhou yang tergendala selama 10 jam. Disebabkan kelewatan itu, semua penumpang kecuali Zhang menukar tiket mereka ke penerbangan yang lain. – MYNEWSHUB.CC

Loading...