Pasang Kartun Tenangkan Budak Tersepit Kaki Hampir 3 Jam

PASIR GUDANG – Bomba bertindak menyiarkan video kartun daripada telefon bimbit untuk memenangkan kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun ketika operasi mengeluarkan kaki kiri budak itu yang tersepit dalam lubang tandas selama hampir tiga jam.

Kejadian berlaku di rumah kedai di Jalan Serangkai 5, Taman Bukit Dahlia, di sini, malam tadi, selepas kanak-kanak itu bersama adik-beradiknya mandi di dalam bilik air tingkat dua premis berkenaan.

Komander Operasi, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Gudang, Pegawai Bomba Kanan II Iszahwati Supardi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada 8.51 malam dan sepasukan lapan anggota dengan sebuah jentera serta Perkhidmatan Penyelamatan dan Perawatan Kecemasan (EMRS) ke lokasi untuk menyelamat.

“Difahamkan, ketika kejadian mangsa sedang mandi bersama adik-beradiknya dan tiba-tiba kakinya termasuk ke dalam lubang saluran air di lantai yang tiada penutup.

“Kaki mangsa tersekat hampir dua jam sebelum keluarga menghubungi bomba untuk bantuan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, pihaknya terpaksa memecahkan simen di sekeliling lubang dan pintu kedai bagi memotong saluran paip yang berada di tingkat bawah.

“Pasukan mengambil masa sejam untuk memecahkan lubang dan paip sebelum keluarkan kaki mangsa. Sepanjang tempoh itu, video kartun dimainkan untuk melekakan dia,” katanya.

Beliau berkata, kanak-kanak itu tidak mengalami kecederaan serius dan diberikan rawatan awal sebelum operasi tamat pada 9.43 malam,” katanya. – myMetro Online