PAS, UMNO Negeri Akan Adakan Pertemuan

KUALA TERENGGANU – Kepemimpinan PAS di semua negeri akan mengadakan pertemuan dengan kepemimpinan UMNO negeri bagi berbincang untuk memperkukuhkan gagasan Muafakat Nasional yang dibentuk. 

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pertemuan tersebut merupakan langkah awal yang akan dilaksanakan selepas kedua-dua parti itu memeterai Piagam Muafakat Nasional pada Sabtu lalu. 

“Selepas ini masing-masing kepemimpinan Pas di semua negeri akan bertemu dan berbincang dengan UMNO negeri. 

“Namun, buat masa ini belum ditetapkan lagi bilakah pertemuan itu dijangka berlangsung,” katanya di sini hari ini. 

Sabtu lalu, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang memberitahu bahawa PAS mempunyai rancangan untuk memasukkan UMNO menjadi sebahagian pentadbiran kerajaan Terengganu dan Kelantan di bawah pemerintahan parti itu.

Abdul Hadi dilaporkan berkata, meskipun merasakan ia masih berada dalam peringkat awal, namun beliau tidak menolak rancangan tersebut kerana menganggap UMNO kini sebahagian daripada keluarga PAS.

Dalam perkembangan, Ahmad Samsuri memberitahu, pihaknya mengambil pendekatan tunggu dan lihat berhubung rancangan mewujudkan kerajaan campuran antara PAS dan Barisan Nasional (BN). 

“Sebagaimana dijelaskan oleh Presiden PAS, hal ini akan dipertimbangkan di masa hadapan. 

“Jadi, kita tunggu dan lihat,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Loading...