PAS Tuntut Status Siasatan 5 Pemimpin DAP

KUALA LUMPUR – PAS menuntut kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan polis memperincikan perkembangan siasatan kes yang melibatkan lima pemimpin DAP.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, banyak pihak telah membuat laporan polis, namun sehingga hari ini semua kes tersebut masih belum diputuskan.

“Rakyat berhak untuk mengetahui lebih lanjut perkembangan kes berkenaan supaya ia dilihat berjalan dengan telus dan adil,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tuan Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian turut memperincikan lima kes yang membabitkan pimpinan DAP.

“Pertama, kes Timbalan Ketua Menteri 2 Pulau Pinang, Dr. P Ramasamy yang dikaitkan mempunyai hubungan dengan pemimpin pengganas Pembebasan Harimau Tamil Eelam (LTTE) dan gambarnya melakukan aktiviti ritual menyembah senapang Kalashnikov (AK-47).

“Kedua, kes Menteri Sumber Manusia, M Kula Segaran yang mendakwa orang Melayu sebagai pendatang dan mahu mengetuk kepala guru-guru sejarah dalam satu program yang dianjurkan di Nilai, Negeri Sembilan,” katanya.

Selain itu, menurut beliau kes ketiga melibatkan kes Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy yang telah mendakwa kerajaan memberi layanan buruk, mendiskriminasi dan menzalimi masyarakat India di Malaysia.

“Keempat, kes Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) kerajaan Selangor, V Ganabatirau yang mendakwa kumpulan Muslim menyerang Kuil Sri Mariamman, di USJ 25, Subang Jaya Selangor.

“Kelima, kes Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasthuriraani Patto yang menghina rakyat Kelantan dengan menjadikan kanak-kanak sebagai objek hiburan setelah pihak kerajaan Kelantan tidak meluluskan lesen hiburan,” ujar Tuan Ibrahim.

Beliau berkata, lima kes yang melibatkan pemimpin DAP ini sangat kritikal kerana ia telah menyentuh sensitiviti rakyat Malaysia dan boleh mencetuskan ketegangan kaum.

Katanya, kerajaan dan polis mesti memberi penjelasan tuntas berhubung kes ini. – Sinar Harian