PAS Tolak Lamaran PH, Setia Dengan UMNO

KUALA LUMPUR – Walaupun pelawaan demi pelawaan dibuat oleh Pakatan Harapan (PH), PAS tetap berpendirian menolak untuk bersama empat parti komponen dalam kerajaan itu.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan menegaskan, PAS tidak akan bersama PH, sebaliknya akan terus bekerjasama dengan UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk menubuhkan kerajaan.

“PAS tidak akan bersama PH, sebaliknya bersama Gagasan Sejahtera dan akan terus berta’awun dengan UMNO dan BN menubuhkan kerajaan.

“Ia akan dilakukan sebelum PRU15 dan semestinya selepas PRU15,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahli Parlimen Kota Bharu itu menjelaskan, PAS pada masa ini akan memberikan fokus dan tumpuan sepenuhnya dalam menjayakan agenda perpaduan ummah bersama UMNO di samping tidak meninggalkan parti-parti komponen dalam BN serta rakan-rakan BN yang mewakili pelbagai kaum termasuk dari Sabah dan Sarawak.

“PAS yakin muafakat nasional yang diterajui oleh UMNO dan PAS serta disokong oleh parti-parti lain kini merupakan pilihan terbaik untuk rakyat ke arah negara Malaysia yang lebih sejahtera, aman dan makmur.

“Sokongan padu rakyat pelbagai kaum dan momentum politik yang menyebelahi parti-parti blok pembangkang pada masa ini membayangkan hasrat rakyat Malaysia yang inginkan suatu perubahan pada negara dalam waktu paling dekat,” katanya.

Semalam, Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, PH sedia membuka pintu kerjasama kepada PAS untuk menjadi sebahagian daripada komponen mereka demi penyatuan umat Islam di negara ini.

Menurutnya, perkara tersebut adalah satu hal yang baik sekiranya parti berkenaan dapat mempertimbangkannya.

Sebelum itu, Naib Presiden Amanah, Datuk Husam Musa mempelawa PAS untuk mempertimbangkan tawaran menyertai PH.

Beliau berkata, sudah tiba masanya untuk PAS dan pemimpinnya berfikir jika tidak mahu perjuangan mereka selama lebih 60 tahun untuk menumbangkan kerajaan UMNO menjadi sia-sia.

Menurutnya, jika PAS menyertai PH sekarang, mereka boleh menjadi kerajaan dan pada pilihan raya akan datang masih boleh jadi kerajaan sekali lagi. – Sinar Harian

Loading...