PAS Tidak Pernah Ketagih Untuk Bersama UMNO

PAS tidak pernah ketagih untuk bersama UMNO dalam perjuangan politik kerana dasar parti itu yang tidak memperjuangkan Islam, kata Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh.

Beliau yang juga Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS berkata, PAS sejak dari dahulu sentiasa bermusuh dengan UMNO dan tidak mungkin mengadakan kerjasama politik dengan parti tersebut.

“Kita (PAS) tak pernah ketagih nak bersama dengan UMNO (kerana dasar perjuangan yang berbeza). Kecuali kalau selepas ini, kalau UMNO nak bersama dengan Islam dan sebagainya, itu cerita lain,” katanya kepada pemberita.

Terdahulu beliau mengadakan kuliah di Dataran Ilmu di Kota Bharu, Kelantan, hari ini. Nik Muhammad Zawawi berkata PAS memperjuangkan Islam sejak sekian lama dan tidak amal politik dendam terhadap mana-mana pihak.

Beliau mengulas kenyataan anggota Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz yang dilaporkan berkata UMNO dinilai lebih baik bekerjasama dengan Pakatan Harapan berbanding dengan PAS.

“Saudara Nazri ini dia bercakap seolah-olah UMNO ini masih menang… kita nak bagitau bahawa UMNO ini sebuah parti yang ditolak oleh rakyat, dan di antara individu yang ditolak oleh rakyat adalah dia (Nazri) sendiri,” katanya. – BERNAMA