PAS Sokong Penuh Bersatu Masuk Muafakat Nasional

SHAH ALAM – PAS menyatakan pendirian menyokong penuh keputusan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk menyertai Muafakat Nasional (MN) yang diasaskan UMNO dan PAS pada 14 September tahun lalu.

Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, parti itu yakin penyertaan Bersatu akan memantapkan lagi MN yang digagaskan atas dasar muafakat dalam isu berkaitan kepentingan agama Islam, Melayu dan Bumiputera.

Malah, katanya, parti itu juga yakin gandingan UMNO, PAS dan Bersatu akan mewujudkan suatu gagasan besar ‘Melayu Raya’.

“Ini sekali gus memperkasakan struktur masyarakat Malaysia yang merupakan sebuah negara majmuk berbilang bangsa, agama dan budaya, seperti termaktub dalam undang-undang teras Malaysia serta sejarah dan pengalaman panjang kita bersama,” katanya dalam satu kenyataan.

Takiyuddin berkata, kerjasama digagaskan atas asas muafakat, persefahaman serta perpaduan itu pasti akan mewujudkan iklim harmoni, kondusif dan berwibawa ke arah membangunkan seluruh sektor masyarakat dan wilayah demi kepentingan negara dan seluruh rakyat.

Sehubungan itu, beliau berkata, PAS yakin gabungan bersepadu kepimpinan MN yang akan diterajui Presiden ketiga-tiga parti iaitu UMNO, PAS dan Bersatu menjadi gandingan terbaik untuk menerajui Kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Semalam, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Majlis Tertinggi parti itu bersetuju untuk menyertai MN yang mendokong PN sebagai gabungan besar atau ‘the grand coalition’. – Sinar Harian