PAS Minta Batal Cadangan Hotel Di Bukit Bendera

GEORGE TOWN – PAS hari ini menggesa kerajaan negeri Pulau Pinang untuk menghentikan cadangan pembinaan dua hotel di puncak Bukit Bendera.

Angggota Dewan Undangan Negeri kawasan Penaga, Mohd Yusni Mat Piah berkata negeri ini telah dua tahun berturut-turut dilanda dua tragedi yang mengorbankan 20 nyawa pekerja dan cadangan pembinaan hotel di puncak Bukit Bendera akan mendatangkan risiko yang tinggi tragedi itu akan berulang.

“Saya berharap kerajaan negeri akan mengambil kira maklum balas daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mahu projek ini dibatalkan kerana cadangan itu mendatangkan risiko keselamatan kepada penduduk,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan dan Usul Anggaran Pembangunan 2019 pada persidangan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, di sini hari ini.

Menurutnya, pendirian PAS adalah sama dengan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) yang inginkan kerajaan negeri kerajaan negeri menghentikan segala projek pembinaan melibatkan kawasan bukit cerun yang berisiko.

Katanya, projek pembinaan hotel di sepanjang cerun Bukit Bendera ini akan menimbulkan kebimbangan kejadian tanah runtuh akan terus berulang di negeri ini, selain ia dikatakan bertentangan dengan Rancangan Kawasan Khas (RKK).

“Saya ingin meminta kepada kerajaan negeri untuk menghentikan projek itu sehingga satu kajian yang menyeluruh dilakukan demi keselamatan penduduk di kawasan berkenaan,” katanya.

Kejadian tanah runtuh di tapak projek jalan berkembar Bukit Kukus, kira-kira 1.56 tengah hari, pada 19 Okt lalu telah mengorbankan sembilan pekerja asing terdiri daripada tiga lelaki Indonesia, lima lelaki Bangladesh dan seorang wanita Myanmar manakala empat lagi cedera.

Manakala kejadian tanah yang seumpanan itu juga pernah berlaku pada 21 Okt tahun lepas, di tapak projek perumahan mampu milik di Lengkok Lembah Permai, Tanjung Bungah yang meragut nyawa 11 pekerja terdiri daripada seorang rakyat tempatan, lima Bangladesh, dua Indonesia, dua Myanmar dan seorang warga Pakistan.

Sementara itu, Mohd Yusni berkata Bukit Bendera pernah dilanda lebih 100 tanah runtuh kecil dan sederhana berikut bencana ribut tahun lepas dan sekiranya projek pembinaan dua hotel ini dibenarkan berterusan akan mendatangkan risiko kepada penduduk.

Katanya, laporan mengenai siasatan lebih tanah runtuh tahun lepas juga masih belum dikemuka kepada umum tetapi projek baharu pula dibenarkan di puncak bukit berkenaan.

Minggu lepas, Ketua Menteri Chow Kon Yeow telah mengumumkan bahawa dua buah hotel akan dibina di puncak Bukit Bendera bagi memenuhi keperluan orang ramai yang mengunjungi kawasan peranginan berkenaan menjelang tahun hadapan. – BERNAMA

Loading...