PAS Mahu Teruskan Hubungan Dengan UMNO Dan BERSATU

KUALA LUMPUR – PAS komited untuk terus memantapkan hubungan dan kerjasama tiga serangkai utama parti Melayu dan Pribumi iaitu UMNO, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan PAS.

Setiausaha Agung, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata untuk itu PAS mengambil ketetapan meneruskan agenda memperkukuh perpaduan ummah yang menjadi asas kerjasama.

PAS juga menegaskan usaha memperkasa Muafakat Nasional (MN) sekali gus mempertahan Perikatan Nasional (PN) di semua peringkat. 

“PAS menolak sebarang usaha daripada mana-mana pihak yang boleh merungkai perpaduan ummah yang sudah sedia terjalin.

“Kami juga menolak sebarang bentuk dan usaha ke arah ‘penjajaran baharu’ membabitkan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) atau sekutunya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kenyataan itu bagi menjawab pendirian parti itu berikutan perkembangan hubungan UMNO dan PN. 

Ahmad Zahid sebelum ini dilaporkan menghantar surat kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan keputusan Majlis Kerja Tertinggi UMNO untuk tidak bekerjasama dalam PRU-15. Surat bertarikh 26 Februari itu juga menyatakan kebersamaan UMNO dengan kerajaan PN boleh diteruskan hingga pembubaran Parlimen.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dalam kenyataan semalam menyebut surat parti itu kepada Muhyiddin yang menyatakan pendirian menolak kerjasama dengan BERSATU dibuat selepas mengambil kira pandangan akar umbi.

Katanya, keputusan itu juga dibuat selepas mempertimbangkan kedudukan parti itu dalam kerajaan ketika rakyat berhadapan dengan pandemik COVID-19.

“Satu perjumpaan khas antara UMNO, BERSATU dan PAS diwakili lima pemimpin tertinggi setiap parti diadakan pada 15 Februari lalu. Dalam pertemuan itu, Perdana Menteri meminta UMNO supaya membuat pendirian jelas berhubung kedudukan kerjasama dengan BERSATU sebelum sebarang perundingan pengagihan kerusi dapat diteruskan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15). 

“Oleh itu, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO mengadakan mesyuarat pada 19 Februari lalu dan keputusan MKT sebulat suara untuk Presiden UMNO (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) mengutuskan surat kepada Perdana Menteri bagi menyatakan keputusan MKT,” katanya dalam kenyataan itu. – BH Online