PAS Keluarkan Perintah Larangan Kepada Ahli

KUALA LUMPUR – PAS mengeluarkan perintah larangan kepada semua ahlinya daripada membawa, berbincang dan membahaskan sebarang isu melibatkan urusan parti dalam semua jenis saluran media sama ada media cetak mahu pun media elektronik.

Perintah larangan ini berkuat kuasa serta merta dan sebarang keingkaran terhadap perintah ini membolehkan seseorang ahli dihadapkan ke Jawatankuasa Tatatertib PAS.

Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, larangan ini termasuk dalam semua media sosial dan sebarang bentuk siaran luar yang bukan daripada saluran parti.

Katanya, sebarang pandangan, pendapat, cadangan mahu pun kritikan mesti disalurkan menerusi parti dalam pelbagai peringkat.

“Ini merupakan disiplin parti yang menjamin kebebasan bersuara dan pada masa yang sama mengawal serta memelihara kerahsiaan organisasi.

“PAS juga mengingatkan ahli-ahli parti bahawa menjadi kesalahan tatatertib sekiranya seseorang ahli melakukan sebarang tindakan yang menyalahi atau merugikan kepentingan parti. Adalah juga menjadi kesalahan sekiranya ahli tidak taat dan patuh kepada arahan parti yang berdasarkan kepada perlembagaan serta aturan dan peraturannya,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Larangan berkenaan dikeluarkan selang beberapa hari selepas menantu Presiden PAS, Zaharudin Muhammad membangkitkan isu ‘kartel dedak’ dalam parti itu.

Zaharudin mendakwa pendedahannya berhubung isu dedak mendapat restu Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Bagaimanapun Abdul Hadi ketika ditemui media semalam, menafikan yang beliau memberi restu kepada menantunya berbuat demikian.

Loading...