PAS Harap Ketua Hakim Negara Jamin Prinsip Islam

KUALA LUMPUR – PAS meletakkan harapan dan kepercayaan agar Ketua Hakim Negara yang baharu, Datuk Tengku Maimun Tuan Mat dapat menjamin supaya mahkamah memastikan prinsip-prinsip Islam sebagai Agama Persekutuan boleh direalisasikan.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, partinya juga berharap prinsip-prinsip Islam dapat diterjemahkan sebagai satu cara hidup dan bukan sekadar peruntukan perundangan yang terhad semata-mata.

“Ini adalah selaras dengan kedudukan Islam dan perundangannya sebagai agama sejagat dan telah terbukti menjamin keadilan untuk semua,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Tengku Maimun dilantik sebagai Ketua Hakim Negara berkuat kuasa Khamis lalu, sekali gus mencatat sejarah wanita pertama memegang jawatan tersebut.

Beliau menggantikan Tan Sri Richard Malanjum yang telah tamat tempoh perkhidmatan sebagai Ketua Hakim Negara pada 12 April lalu, setelah mencapai umur 66 tahun dan enam bulan.

Kata Takiyuddin lagi, PAS mengucapkan tahniah serta mengalu-alukan pelantikan itu dan yakin ia dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong atas merit berdasarkan pengetahuan tinggi, pengalaman luas serta kredibiliti Tengku Maimun sepanjang menggalas pelbagai tugas dan jawatan dalam perkhidmatan kehakiman dan perundangan negara.

“PAS juga menaruh keyakinan Yang Amat Arif sebagai Ketua Hakim Negara, mempunyai visi dan misi untuk mempertahankan kebebasan badan kehakiman berdasarkan konsep pengasingan kuasa serta menjamin keadilan ditegakkan mengikut sistem perundangan negara,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Loading...