PAS Harap Berjasa Tarik Hasrat Letak Calon PRK Tanjung Piai

PONTIAN – Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) yang mahu meletakkan calon untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai diharap dapat menarik balik hasrat itu bagi menghormati kerjasama parti itu bersama PAS di bawah Gagasan Sejahtera.

Pesuruhjaya PAS Johor, Abdullah Husin berkata, Berjasa yang berada di bawah Gagasan Sejahtera bersama PAS dan Ikatan adalah terikat dengan kerjasama di bawah gagasan itu.

Katanya, dalam kes PRK Tanjung Piai, PAS pula menghormati keputusan Barisan Nasional (BN), yang ditunjangi UMNO, untuk meletakkan calon dari MCA berikutan kerjasama menerusi piagam Muafakat Nasional bersama UMNO.

“Saya menasihati mereka (Berjasa) supaya jangan berbuat demikian (meletakkan calon sewaktu penamaan esok). Kita (PAS) dah beri laluan kepada BN untuk letakkan calon, maka BN dah putuskan calon yang bertanding adalah MCA,” katanya kepada Bernama, ketika dihubungi hari ini.

Menurut beliau, PAS serta parti-parti di bawah Gagasan Sejahtera perlu membuktikan mereka berfikiran terbuka.

Semalam, Berjasa mengumumkan akan bertanding pada PRK Tanjung Piai, malah telah membuat bayaran deposit kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pagi semalam.

Berjasa dilaporkan mahu memberi pilihan kepada pengundi Melayu Islam di Parlimen Tanjung Piai untuk memilih calon Muslim di bawah parti itu.

Sehingga kini, tiga calon telah diperkenalkan oleh parti masing-masing untuk bertanding kerusi Parlimen berkenaan iaitu Karmaine Sardini, 66, dari Bersatu untuk Pakatan Harapan; Datuk Seri Dr. Wee Jeck Seng, 55, dari MCA mewakili Barisan Nasional dan Wendy Subramaniam, 38, dari Gerakan.

Penamaan calon akan diadakan esok.

Loading...