PAS Akan Panggil Zaharudin Penjelas ‘Kartel Dedak’

KUALA LUMPUR – Zaharudin Muhammad yang merupakan menantu Presiden PAS, Abdul Hadi Awang akan dipanggil untuk membuat penjelasan berhubung kenyataannya di media sosial mengenai kewujudan kumpulan dinamakan “kartel dedak” dalam PAS, kata setiausaha agung parti itu, Takiyuddin Hassan.

“Saya akan dapatkan laporan daripada dia (Zaharudin). Kita tak boleh nak berdasarkan media sosial sahaja.

“Kita akan panggil dia untuk dapatkan penjelasan. Kalau betul dia buat kenyataan itu, kita akan dapatkan penjelasan lanjut.

“Apa maklumat dia dan apa tujuan dia dan betul ke dia yang buat kenyataan itu dan sebagainyalah,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis berbuka puasa sempena sambutan ulang tahun UMNO ke-73 di PWTC malam tadi.

Terdahulu Zaharudin menerusi tulisannya di Facebook membangkitkan isu melibatkan penularan audio ahli Parlimen Bachok Nik Abduh Nik Abdul Aziz yang mendakwa menerima dana daripada UMNO.

Zaharudin menggelarkan kumpulan tertentu dalam PAS sebagai “kartel dedak”.

Dalam rakaman audio itu kedengaran suara seorang lelaki mengaku bahawa pemimpin PAS menerima dana daripada UMNO.

Nik Abduh pada mulanya menafikan beliau merupakan lelaki itu, tetapi mendedahkan sebaliknya pada Februari dengan mendakwa Hadi membenarkan beliau membuat penafian tersebut.

Dalam hantarannya di media sosial, Zaharudin bagaimanapun berkata, kenyataan terbarunya itu bertujuan menghindarkan fitnah yang sedang menjalar, bukan “mengejutkan fitnah yang sedang tidur”.

Sementara itu, ketika ditanya apakah tindakan ke atas Zaharudin itu dirujuk kepada presiden PAS, Takiyuddin berkata, ia hanya proses di peringkat pentadbiran parti sahaja.

“Tiada, ini di peringkat pentadbiran sahaja,” katanya. – FMT

Loading...