KUALA LUMPUR – Selepas digantung selama tiga hari daripada menghadiri sidangan Dewan Rakyat minggu lalu, Tan Sri Noh Omar (BN-Tanjong Karang) kembali semula dengan menyampaikan serangkap pantun sinis.

Pantun yang mungkin ditujukan kepada Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Nga Kor Ming itu diungkapkan sebelum Noh bertanyakan soalan kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin.

“Dari Taiping ke Teluk Intan, singgah sebentar di Bukit Rapat, saya UMNO bukan Taliban, mohon jawapan soalan nombor empat,” katanya sekali gus mengundang gelak ketawa ahli-ahli Dewan.

Beliau berkata demikian dalam sesi soal jawab sidang Dewan Rakyat hari ini.

Kor Ming menggantung Noh selama tiga hari daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat minggu lalu susulan pertikaian lidah apabila Noh dikatakan menyifatkan Kor Ming tidak layak menjadi Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Kor Ming kemudiannya memutuskan menggantung Noh kerana didakwa menghina institusi Yang Dipertua Dewan Rakyat. – UTUSAN ONLINE

Loading...