Parlimen: Desak Usul Bawa Guan Eng Ke Jawatankuasa Dibincang

KUALA LUMPUR – Pembangkang hari ini mendesak supaya usul membawa Menteri Kewangan, Lim Guan Eng ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen dibincang sebelum tamat sesi sidang Dewan Rakyat yang bakal tamat pada Khamis ini.

Ia susulan selepas Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mengesahkan rumusan bahawa tiada kehilangan wang sebanyak RM19.4 bilion dalam kutipan hasil cukai barang dan perkhidmatan (GST).

Sehubungan itu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berdasarkan Peraturan Mesyuarat 36 (12) mengemukakan usul supaya Guan Eng dibawa ke jawatankuasa berkenaan atas kesalahan mengelirukan Dewan Rakyat.

“Di dalam penyata PAC yang dibentangkan hari ini jelas menyatakan bahawa tiada kehilangan wang atau tiada wang yang dirompak seperti yang dituduh Yang Berhormat Bagan, dengan ini beliau telah mengelirukan Dewan ini.

“Dengan ini pihak pembangkang ingin mengunakan peraturan 36 (12) untuk merujuk yang berhormat Bagan ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan,” katanya dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Nga Kor Ming walau bagaimanapun meminta Ismail membuat surat secara bertulis untuk dibawa dan dipertimbangkan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Jelas Kor Ming, sekiranya perakara itu diputuskan hari ini ia dilihat tidak akan dapat memberi keadilan kepada semua pihak berkaitan.

Khairy Jamaluddin (BN-Rembau) yang bangun mengikut peraturan mesyuarat yang sama sebelum itu berkata, sekiranya usul itu diminta untuk dimajukan melalui surat oleh pihak pembangkang, beliau berharap ia dapat dibincangkan dalam mesyuarat sesi kali ini dan bukan masa mesyuarat sesi akan datang.

“Oleh kerana laporan ini dibentangkan hari ini dan mengesahkan bahawa kenyataan yang dibuat oleh Menteri Kewangan adalah tidak benar dan tidak tepat, ini telah memberi gambaran sangat buruk kepada kerajaan yang lepas.

“Ini telah menjadi satu perkara yang mendesak, yang perlu disegerakan oleh Dewan kerana kalau sekiranya Yang Dipertua Dewan Rakyat mintak kita hantar surat dan sebagainya sudah pasti ia akan dibincangkan dalam majlis yang akan datang,” katanya.

Sementara itu, Datuk Seri Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) juga meminta jaminan supaya perkara tersebut dapat dibincangkan dalam tempoh mesyuarat kali ini.

“Jika laporan ini perlu masa untuk dibaca setelah kami buat satu usul, adakah jaminan bahawa ia akan dibincangkan dalam tempoh mesyuarat ini juga sampai hari Khamis?

“Jika itu boleh dibincangkan saya rasa adil pada semua, kerana tuduhan yang dibuat adalah dirompak, kesimpulannya tiada yang hilang,” katanya.-UTUSAN ONLINE

Loading...