Parlimen Belia Bukan Olok-Olok

PETALING JAYA – Kementerian Belia dan Sukan serta Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sedang melakukan kajian menyeluruh membabitkan sruktur dan organisasi Parlimen Belia Malaysia.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim Chee Keong, berkata ia perlu dalam memastikan perwakilan terpilih benar-benar berupaya membawa suara orang muda, dan bukannya sekadar parlimen olok-olok.

Katanya, pensturukutan semula adalah perlu untuk memberi latihan kepada perwakilan untuk berupaya menjawab dengan baik seperti di Dewan Rakyat.

“Kita mahu ia menjadi landasan anak muda menyumbang idea dan pandangan, di mana ia akan diambil kira untuk membentuk hala tuju negara kita,” katanya pada sidang akhbar selepas menyertai program bual bicara terbitan TV3, Borak Kopitiam di sini hari ini.

Kelmarin Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Abdul Rahman berkata Parlimen berkenaan diteruskan selepas kerajaan menerima laporan penuh hasil audit kementerian itu dan kumpulan pensyarah UKM yang dilantik bagi mengaudit pelaksanaan program itu dalam usaha penambahbaikan.

Sim berkata, kementerian memandang serius pandangan anak muda kerana mereka pewaris negara.

Katanya, pada hakikatnya konsep usia remaja pada abad ke 20 adalah tidak sama dengan remaja di abad ke 21, di mana mereka memiliki pendedahan ilmu dan kemahiran yang cukup luas berbanding zaman beliau.

“Saya memperoleh komputer pada usia 20an sedangkan remaja hari ini mereka memilikinya menerusi telefon pintar,” katanya.

Pada program berkenaan, Sim turut mengambil peluang mendeklamasi sajak daripada buku kompilasi puisi beliau, bertajuk ‘Dalam Salju Ada Bunga’.

“Saya menulis puisi sebagai landasan meluahkan perasaan sukda dan duka dalam arena politik negara.

“Pilihan Raya Umum ke 14 lalu menjadi pencetus kepada penghasilan puisi ini kerana ia adalah titik sejarah begitu penting kepada negara kita.

“Pada pandangan saya, kita harus mentadbir secara puitis dan ada kelembutan kerana itu adalah budaya kita di mana kita bebas daripada politik sebelum ini yang penuh dengan unsur kebencian, toksik dan perkauman. Saya rasa sudah sampai masanya kita suntik kehalusan dalam politik negara,” katanya yang memberitahu buku terbitan DAP ini, cukup memperjelaskan bahawa DAP bukan anti bahasa Melayu.

Sim yang memiliki latar belakang dalam bidang kejuruteraan, menulis puisi atas dasar minat dan buku berkenaan adalah karya ketiga dihasilkan, bertemakan sosial politik.

Buku menghimpunkan 10 puisi berbahasa Melayu yang ditulis sejak 2003 itu dirasmikan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof, Ogos lalu di Parlimen.

Sim turut berkongsi mengenai pengalamannya menghasilkan aplikasi ‘Better Penang’ sewaktu menjadi Ahli Majlis pada 2012 di Pulau Pinang.

Katanya aplikasi yang kini dikendalikan badan bukan kerajaan (NGO), Better Penang, bertahan hingga sekarang, memudahkan rakyat menyampaikan aduan kepada kerajaan tempatan disifatkan sebagai medium terbaik dan mudah cara menyelesaikan masalah dihadapi rakyat.

“Saya akan gunakan pengalaman ini alam peningkatan pengurusan di kementerian. Di mana pendekatan seorang jurutera adalah sebagai penyelesai masalah,” katanya. – BH ONLINE

Loading...