Papan Iklan Papar Muka Najib, Jeck Seng Tapi Undilah PH

PEKAN NANAS – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) digesa bertindak segera menurunkan papan iklan di sekitar Pekan Nanas yang disifatkan mempunyai mesej negatif dan mengelirukan orang ramai.

Ketua Pemuda MCA Johor, Ling Tian Soon berkata, pihaknya mengesan terdapat dua papan iklan tersebut yang secara jelas melanggar syarat berkempen ditetapkan SPR.

Menurutnya, beberapa kain rentang yang memaparkan mesej serupa turut dikesan dipamerkan di beberapa lokasi.

“Kami dah laporkan dan pegawai SPR turut mengesahkan ‘billboard’ ini memang salah kerana menggunakan gambar orang yang bukan pemimpin parti.

“Pihak SPR juga membuat keputusan untuk menurunkan ‘billboard’ berkenaan tetapi malangnya, perlu tunggu kerana alasannya SPR kekurangan kakitangan (petugas),” katanya pada sidang media yang turut dihadiri Ketua Pemuda MCA Bahagian Tanjung Piai, Heng Zhi Li hari ini.

Difahamkan, antara mesej pada papan iklan luar berkenaan adalah seperti ‘Jeck Seng menang, Najib Kembali’.

Dalam masa sama, Tian Soon turut mendesak supaya tindakan tegas diambil kepada pihak yang terlibat dalam pemasangan berkenaan dan berharap penguat kuasa SPR tidak bersifat berat sebelah.

“Kami harap SPR dapat bertindak segera terhadap kewujudan ‘billboard’ dan kain rentang ini. Persoalannya, kami dah tunggu selama 48 jam. Apa lagi nak tunggu?

“Mereka yang pasang ‘billboard’ tersebut bukan hanya gunakan gambar pemimpin lama tapi masukkan dialog serta ‘design’ sendiri, ternyata perbuatan ini sangat tidak bertanggungjawab,” katanya.

Sementara itu SPR ketika dihubungi enggan mengulas lanjut berhubung perkara berkenaan. – Sinar Harian

Loading...