Pantau ‘Pembelian’ Ahli Parlimen Menjelang Sidang Khas

ALOR SETAR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu memantau supaya tidak berlaku ‘pembelian secara besar-besaran’ dalam kalangan Ahli Parlimen menjelang sidang khas Dewan Rakyat Isnin ini bagi memilih Perdana Menteri baharu.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata ‘pembelian’ Ahli Parlimen itu mungkin berlaku bagi sesetengah pihak memperoleh majoriti sokongan calon Perdana Menteri masing-masing.

“Pemantauan itu perlu dilakukan 24 jam pada hari ini, Sabtu, Ahad dan pagi Isnin sebelum bermulanya sidang khas Dewan Rakyat, ini kerana kita jangka pembelian Ahli Parlimen bagi mendapat sokongan parti boleh berlaku.

“Contohnya PKR yang kini sudah mempunyai 92 kerusi bagi menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri, mereka hanya perlu melepasi 112 kerusi untuk melayakkan beliau menjadi Perdana Menteri, tapi apa pun kita harap ‘pembelian’ itu tidak berlaku,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas ceramah pada Karnival Muafakat Nasional di Kompleks PAS Kedah dekat sini malam tadi.

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) pula tidak menolak kemungkinan menamakan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, sebagai perdana menteri baharu pada sidang itu.

Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian, mendakwa UMNO dan PAS tidak mempunyai kepentingan untuk berbuat demikian berikutan ia melanggar prinsip Muafakat Nasional.

Katanya, satu perjumpaan kesemua Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi akan diadakan untuk membincangkan langkah dan strategi BN dalam menghadapi kemelut politik semasa.

“Pada jam 3 petang ini kita semua akan berjumpa dengan Presiden UMNO kita akan atur perancangan terbaik bagi menghadapi apa jua situasi selepas ini,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Sanusi yang juga Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Kedah berkata pihaknya akur selepas Pakatan Harapan (PH) dan BERSATU mengekalkan Datuk Seri Muhkriz Mahathir sebagai Menteri Besar dan barisan EXCO sedia ada.

Katanya, beliau sudah merujuk kepada pakar undang-undang dan mengesahkan kerajaan minoriti boleh berlaku walaupun BERSATU umum keluar daripada PH. – BH Online

Loading...