Panel Sekolah Trump Cadang Guru Dibekal Senjata Api

WASHINGTON – Panel keselamatan yang ditubuhkan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mencadangkan agar sekolah mempertimbangkan penggunaan senjata untuk kakitangan, dengan pengawasan veteran tentera dan mengkaji semula garis panduan disiplin yang diperkenalkan ketika era bekas Presiden Barack Obama.

Panel Suruhanjaya Persekutuan Keselamatan Sekolah diketuai, Setiausaha Pendidikan, Betsy DeVos, ditubuhkan pada Februari lalu, susulan kejadian pembunuhan beramai-ramai di Parkland, Florida, membabitkan seorang bekas pelajar menembak 17 orang, mencetuskan bantahan kawalan senjata api.

Suruhanjaya itu menolak cadangan meningkatkan tahap umur minimum untuk membeli senjata, dengan alasan kebanyakan penembak di sekolah mendapatkan senjata dari ahli keluarga atau kawan.

Pada masa sama, suruhanjaya mencadangkan agar kakitangan sekolah dibekalkan senjata, termasuk guru dalam keadaan tertentu, bertujuan untuk bertindak balas serta-merta terhadap tindakan ganas.

Menurut suruhanjaya itu, ia memberi manfaat terutama untuk sekolah di kawasan luar bandar, kerana tindak balas polis mungkin agak lambat.

Laporan cadangan suruhanjaya setebal 180 muka surat itu juga mencadangkan agar pihak berkuasa pendidikan menggunakan perkhidmatan veteran tentera atau polis.

Suruhanjaya juga mendesak agar garis panduan disiplin yang diperkenalkan pada 2014, ketika pemerintahan bekas Presiden Barack Obama yang mencadangkan alternatif untuk menggantung dan buang sekolah dalam usaha menangani diskriminasi terhadap pelajar pelajar berkulit gelap dan Latin.

Laporan suruhanjaya itu berkata, tindakan itu mempunyai kesan yang negatif terhadap disiplin sekolah dan keselamatan. Kesatuan Kebebasan Sivil Amerika mengutuk cadangan itu. – AFP/BH ONLINE

Loading...