Pampasan Tol: Dulu Kutuk BN, Kini PH Buat Sama

SINDIR… Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak bidas kerajaan Pakatan Harapan (PH) terutama DAP yang dahulunya lantang apabila Barisan Nasional…

SINDIR… Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak bidas kerajaan Pakatan Harapan (PH) terutama DAP yang dahulunya lantang apabila Barisan Nasional (BN) bayar pampasan kepada pengendali konsesi.

Walhal kaedah tersebut dilakukan kerajaan BN terdahulu bagi memastikan kadar tol lebuh raya tidak dinaikkan, tetapi kini seorang menteri DAP pula melakukan perkara yang sama atau bahasa mudahnya, ‘copy-paste’.

Menerusi hantaran terbaharu dalam akaun sosial Facebooknya, Najib yang juga bekas Perdana Menteri dalam nada sindiran berkata DAP dahulunya sering marah kerajaan BN atas alasan konon cuba perkayakan syarikat kroni.

“Setiap tahun kerajaan BN membayar pampasan, DAP marah saya dan tuduh saya hanya mahu memperkayakan syarikat kroni tol yang kaya. Saya dimarahi dan diserang setiap tahun oleh DAP apabila membayar pampasan.

“Saya juga dimarah pada akhir tahun 2015 kerana benar kadar tol dinaikkan untuk 2016. Saya dimarah lagi DAP tahun lepas kerana bayar pampasan RM2.2 bilion untuk hapus sepenuhnya empat tol di Johor, Selangor dan Kedah.

“Tahun-tahun, DAP marah,” sinis Najib. Tetapi sekarang ujar beliau, PH sangat bangga dengan keputusan mereka untuk membayar pampasan sebanyak RM1 bilion supaya kadar tol lebuh raya tidak naik pada tahun depan.

“Dan menariknya, Menteri Kewangan PH itu adalah dari DAP, parti yang jadikan acara tahunan untuk marah saya,” katanya lagi merujuk hantaran Lim Guan Eng sebelum ini perlekeh Najib bayar pampasan demi elak tol dinaikkan.

Untuk rekod, Najin yang juga bekas Menteri Kewangan itu turut menampilkan beberapa fakta mengenai langkah kerajaan PH untuk tidak menaikkan tol lebuh raya tahun depan dengan terpaksa bayar pampasan RM1 bilion.

“Kebanyakan konsesi-konsesi tol di negara hari ini – terutama dituduh (pihak DAP) sebagai berat sebelah, diberi pada masa pemerintahan Perdana Menteri yang ke-4 sendiri dan bukannya berlaku ketika era pentadbiran saya.

“Tol untuk lebuh raya milik PLUS seperti lebuh raya Utara-Selatan, Jambatan Pulau Pinang, NKVE dan sebagainya itu tidak pernah pun naik sepanjang tempoh 10 tahun saya menjawat portfolio sebagai Menteri Kewangan.

“Malah kerajaan BN pada masa saya beli balik dengan sepenuhnya syarikat PLUS pada tahun 2011 dari kini PLUS dimiliki 51% Khazanah Nasional dan 49% oleh KWSP. Ya, KWSP, sekali lagi ia menguntungkan pencarum,” jelasnya.

Mengulas lanjut tambah Najib lagi, apabila kedudukan kewangan negara mengizinkan, beliau telah berusaha untuk hapus kutipan tol sedikit demi sedikit dan berjaya untuk memansuhkan beberapa plaza tol secara berperingkat.

“Ini juga berlaku di Pan Borneo Highway di mana hari ini Sarawak dan Sabah tidak ada sebarang tol lebuh raya lagi. Ini dapat dilakukan kerana ia dibina ketika pentadbiran saya dan tidak perlu kita terikat kepada syarat konsesi.

“Selama tempoh 10 tahun ini kadar tol lebuh raya bukan milik PLUS hanya pernah naik setahun sahaja iaitu pada 2016 kerana ketika itu hasil negara terjejas akibat kejatuhan harga minyak dunia ke tahap bawah US$30 satu tong.

“Setiap tahun semasa pentadbiran saya bagi kadar tol tidak dinaikkan sepanjang sembilan tahun itu, kita (kerajaan BN) perlu membayar pampasan kepada pemegang konsesi lebuh raya,” tegas Najib lagi mengimbau sejarah lama.

Justeru, apa yang berlaku pada hari ini rakyat telah melihat bagaimana hebat kerajaan PH banyak membuat pusingan U dan ‘copy-paste’ dasar Kerajaan BN terdahulu yang mereka selalu kritik serta marah sebelum ini.

“Oleh itu, saya juga ‘copy-paste’ kenyataan dahulu Menteri Kewangan kita yang marah saya membayar pampasan RM400 juta pada tahun 2014 untuk tidak menaikkan tol (sila rujuk https://tinyurl.com/ydbr6s75)

“Saya ‘copy-paste’ dari dia dan membuat sedikit ubah suai sahaja untuk membalas pengumumannya,” katanya. Najib juga secara sinis mengatakan tidak sah jika PH tidak membuat ‘U-Turn’sepanjang pemerintahan mereka itu.

“Tetapi jangan tajam sangat. Nanti jadi V-Turn pula,” sindirnya lagi. – Agensi/Mynewshub.TV