Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat Diumum Jumaat Ini

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri akan mengumumkan satu pakej rangsangan ekonomi prihatin rakyat yang lebih menyeluruh, susulan impak penularan COVID-19 di negara ini.

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pegawai di Kementerian Kewangan ketika ini bekerja bertungkus-lumus menyediakan pakej berkenaan untuk memberikan manfaat kepada semua.

“Sama ada anda pemandu teksi, pemandu Grab, petani, pengusaha restoran, penjual nasi lemak, penjual goreng pisang, penjual burger, pekerja harian, kerajaan akan berusaha sedaya upaya untuk pastikan anda semua beroleh manfaat.

“Insya-Allah, no one will be left behind (tiada yang akan dipinggirkan). Selain itu, saya berharap pusat pungutan zakat di setiap negeri memainkan peranan secara lebih proaktif untuk membantu asnaf.

“Saya percaya mereka sedang menghadapi keadaan hidup yang agak lebih sukar pada masa ini, berilah bantuan kepada mereka.

“Mungkin mereka yang sebelum ini tidak tersenarai sebagai asnaf, tetapi dalam keadaan ekonomi yang terjejas pada masa ini, mereka menjadi golongan asnaf yang layak menerima bantuan zakat,” katanya pada perutusan khas, hari ini. – BH Online

Loading...