Pakatan Nasional Tak Wujud – PAS

KUALA LUMPUR – PAS menegaskan tiada perbincangan dibuat mengenai penubuhan pakatan baharu politik digelar ‘Pakatan Nasional’ sehingga ke hari ini.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata PAS akan terus memperkasakan Muafakat Nasional bersama Barisan Nasional (BN).

“Pakatan Nasional tiba-tiba muncul tanpa perbincangan. Sekiranya ada yang berjumpa Perdana Menteri untuk berbincang mengenai perkara itu, ia sesuatu yang biasa.

“Cuma dalam muafakat PAS-BN, apa-apa perbincangan dan keputusan mesti dibuat bersama,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat di Ibu Pejabat PAS, di sini, hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan.

Tuan Ibrahim berkata, mesyuarat hari ini memutuskan untuk kekal bersama pendirian UMNO bagi memperkasa agenda Muafakat Nasional.

“Ini sebagai persiapan untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dan ia akan diperkukuhkan di peringkat negeri, kawasan dan bahagian.

“PAS juga bersetuju mewujudkan jawatankuasa bersama bersama UMNO di peringkat negeri, bahagian atau kawasan.”

Dalam perkembangan lain, PAS akan mengemukakan usul menyokong kepemimpinan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, pada persidangan Dewan Rakyat yang bermula bulan depan.

Tuan Ibrahim berkata, parti itu berpendapat usul terbabit perlu dikemukakan atas dasar kepentingan awam.

“Keputusan ini dibuat selepas negara digembar-gemburkan dengan rasa tidak puas hati terhadap Perdana Menteri tetapi tidak ada usul tidak percaya,” katanya.

Tuan Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, semua 19 Ahli Parlimen PAS akan meneruskan sokongan terhadap kepemimpinan Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri sehingga akhir penggal Parlimen ke-14.

Katanya, Barisan Nasional (BN) akan dimaklumkan mengenai pendirian dan cadangan PAS mengemukakan usul berkenaan.

“Kita akan berpakat dengan BN dan percaya mereka akan bersetuju dengan usul ini,” katanya. – BH Online

Loading...