Pakatan Mahathir, Azmin Makin Luaskan Kuasa

SELANGOR mendapat menteri besar baharu hari ini, Amirudin Shari, orang kuat bekas Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Anak kelahiran Pontian, Johor ini ialah orang kuat Azmin sejak awal penglibatannya dalam PKR, dengan Institut Kajian Dasar (IKD) di Bangsar.

Pelantikan beliau mengesahkan dakwaan wujud perjanjian untuk memastikan Azmin mempunyai “remote control” di Selangor, negeri kubu kuat dan lubuk emas Timbalan Presiden PKR itu.

Azmin didakwa mahu mengekalkan kubu kuatnya dengan memastikan penggantinya sebagai menteri besar ialah orang yang boleh dikawal.

Dua nama paling disebut-sebut ialah Amirudin dan Dr Shaharuddin Badaruddin, dua orang yang paling rapat dengan Azmin yang boleh diterima sebagai menteri besar Selangor.

Kekecohan sudah timbul ekoran pelantikan Amirudin yang didakwa hanya dicadang dan disokong oleh Azmin berbanding calon-calon lain.

Hari ini, seorang lagi calon Dr. Idris Ahmad mengadakan sidang media dan mendakwa beliau mendapat sokongan semua parti dalam Pakatan Harapan manakala Amirudin hanya disokong Azmin.

“Saya ada sokongan semua parti dalam Harapan manakala Amirudin cuma mendapat restu Azmin Ali,” katanya dilapor media.

Beliau juga menunjukkan surat-surat sokongan daripada wakil setiap parti, iaitu Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail sebagai Presiden PKR; pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Datuk Abdul Rashid Asari; pengerusi Parti Amanah Negara (PAN) Selangor, Izham Hashim dan pengerusi DAP Selangor, Tony Pua.

Sejak awal bulan Jun, Idris sudah membuat kenyataan mengatakan hanya nama beliau diserahkan sebagai calon kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

“Presiden dan ketua umum maklumkan kepada saya. Namun surat menyurat itu saya tidak tahu.

“Cumanya saya diberitahu nama saya seorang dihantar ke istana,” Idris dilaporkan berkata awal Jun lalu.

“Namun memang saya sudah dapat restu dari ketua umum dan presiden parti dan mereka mahukan saya,” tegasnya.

Pemilihan Amirudin menunjukkan Azmin terus mengukuhkan cengkamannya di Selangor selepas meninggalkan kerajaan negeri untuk memegang jawatan Menteri Ekonomi dalam Kabinet Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dalam usia yang muda, Amirudin sebelum ini dijangka agak sukar untuk dipilih sebagai menteri besar berbanding pemimpin lain yang lebih senior seperti ADUN Ijok, Idris.

Tetapi ternyata kekuatannya sebagai calon pilihan Azmin berjaya mengatasi semua faktor dimiliki oleh calon-calon lain.

Dari sudut dalaman parti PKR, kekuatan Azmin kini semakin sukar dicabar mana-mana pihak termasuk Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berpengaruh.

Sebagai menteri ekonomi yang bidang kuasanya menjaga korporat utama negara seperti Felda dan Tabung Haji, Azmin melonjak lebih tinggi daripada kedudukannya di Selangor.

Beliau kini boleh dianggap mempunyai kedudukan paling kuat dan selesa dalam Kabinet Mahathir mengatasi presiden parti Wan Azizah.

Pelantikan Azmin juga menguatkan lagi kedudukan Mahathir dalam Kabinet, dan memungkinkan pemimpin berusia 92 tahun itu memejang jawatan perdana menteri lebih lama daripada yang dirancang.

Kehadiran seorang lagi orang kuat Mahathir dalam Kabinet juga boleh membantu penyusuan pelan peralihan kepada perdana menteri yang lain selain Anwar.

Di Putrajaya dan dalam PH, Azmin juga akan semakin mengukuh kuasanya dan dijangka meningkat lagi sehingga boleh menggugat pemimpin lain.

Selepas ini, dijangka beliau tidak akan berdepan halangan sukar untuk merebut jawatan presiden PKR daripada Wan Azizah.

Kedudukan Azmin sebagai presiden nanti dijangka akan setara malah akan mengatasi kedudukan Anwar sebagai ketua umum, jawatan yang dicipta khusus supaya Anwar kekal berkuasa dalam PKR.

Pihak yang telah melihat kemungkinan penguasaan Azmin telah mencadangkan agar Anwar segera mengambil alih jawatan Presiden daripada Wan Azizah.

Menurut mereka, jawatan ketua umum sudah tidak relevan dan Anwar kini perlu memegang jawatan presiden PKR pula, lebih-lebih lagi memandangkan beliau ialah “perdana menteri menunggu” PH.

Sebelum ini, Anwar telah berjaya menghalang Azmin daripada mencabar Wan Azizah sebagai presiden tetapi kemudian menarik diri bagi membiarkan isterinya kekal sebagai presiden.

Bagaimanapun, dalam keadaan sekarang ini, Anwar mahupun pemimpin lain semakin sukar untuk menyekat kemaraan Azmin, di dalam parti mahupun di Putrajaya. – Mynewshub.cc

Loading...