Pakatan Harapan Tawan Putrajaya, Kata Mahathir

PETALING JAYA – Tun Dr. Mahathir Mohamad, yang mengetuai Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), mendakwa pakatan pembangkang itu telah memenangi majoriti mudah kerusi Parlimen untuk membentuk kerajaan persekutuan.

Pengerusi PH itu berkata ini berdasarkan keputusan tidak rasmi pengundian hari ini yang keputusan bagi 222 kerusi Parlimen serta 504 kerusi Dewan Undangan Negeri yang dipertandingkan masih belum diumumkan secara keseluruhannya.

“Kami telah memenangi sekurang-kurangnya 112 kerusi Parlimen berdasarkan keputusan tidak rasmi,” katanya pada sidang media yang penuh sesak beberapa jam selepas berakhirnya pilihan raya umum yang amat sengit.

Dr. Mahathir, yang merupakan perdana menteri keempat Malaysia selama 22 tahun sebelum melepaskan jawatan itu pada 2003, mengkritik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang didakwa “sengaja” melengahkan keputusan penuh pilihan raya.

Berhubung kemenangan PH, Dr. Mahathir, 92, berkata: “Ini bukan berita palsu… mereka (Barisan Nasional) ketinggalan jauh. Kemungkinan besar mereka tidak dapat membentuk kerajaan.”

Dr. Mahathir menegaskan bahawa pakatan pembangkang yang terdiri daripada PKR, DAP, PPBM dan Amanah telah dapat menawan atau mengekalkan sekurang-kurangnya enam negeri – Pulau Pinang, Selangor, Melaka, Negeri Sembilan, Johor dan Kedah – berdasarkan keputusan tidak rasmi pilihan raya.

Beliau turut ditanya sama ada akan menghadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V berikutan perkembangan terkini itu.

“Saya ingin menghadap Yang di-Pertuan Agong susulan apa yang berlaku tetapi persoalannya apakah Seri Paduka berkenan menerima saya menghadap.

“Tanpa (SPR) mengeluarkan keputusan (penuh pilihan raya), saya tidak boleh menghadap Yang di-Pertuan Agong,” kata beliau. – BERNAMA

Loading...