Pakatan Harapan Mahu Perjuangkan Murtad?

KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan diminta mengeluarkan kenyataan rasmi bagi menjelaskan sama ada pendirian Pakatan Harapan Sarawak berhubung murtad dalam kalangan umat Islam baru-baru ini menyamai pendirian dan dasar Pakatan Harapan di peringkat Pusat.

Ahli akademik Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Kamarul Zaman Yusoff berkata, Pakatan Harapan Sarawak mengeluarkan kenyataan media yang mendesak kebebasan untuk umat Islam murtad di negeri itu.

“Kenyataan media itu ditandatangani Pengerusi Pakatan Harapan Sarawak merangkap Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen, Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak, Baru Bian dan Pengerusi Parti Amanah Negara (PAN) Sarawak, Fidzuan Zaidi.

“Kenyataan media ini mendesak Jabatan Agama Islam Sarawak “membuat garis panduan dan kehendak yang sangat jelas bagi mereka yang ingin meninggalkan Islam secara sukarela untuk mengikuti supaya surat pembebasan dapat dikeluarkan” selain mendesak kerajaan Sarawak “mempertimbangkan dengan serius meminda undang-undang negeri yang berkaitan untuk menyediakan keperluan untuk surat pelepasan”,” katanya di Facebook hari ini.

Pakatan Harapan yang dipengerusikan Tun Dr. Mahathir Mohamad yang baru dilantik memegang jawatan itu sejak beberapa bulan lalu dibarisi oleh parti pembangkang DAP, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), PKR dan PAN.

Kamarul menjelaskan, umum mengetahui mereka yang paling aktif memperjuangkan kebebasan untuk umat Islam murtad di Malaysia selama ini adalah pemimpin parti politik seperti DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) selain pertubuhan sivil seperti SIS, G25 dan IRF.

Sebagai contoh, kata bellau. peguam Aston Paiva yang berada dalam salah sebuah pertubuhan tersebut menggesa supaya diwujudkan prosedur pentadbiran mengenai kemurtadan di Malaysia.

Bagaimanapun, katanya, ia bukan sesuatu yang pelik kerana Aston Paiva bukan Islam, tetapi adalah pelik muslim seperti Pengerusi PAN Sarawak, Fidzuan Zaidi membuat gesaan serupa sekali gus menimbulkan persepsi PAN dipergunakan bukan Islam untuk kepentingan mereka. – MYNEWSHUB.CC

Loading...