Pakatan Harapan Gesa Sidang Khas Parlimen

MAJLIS Presiden Pakatan Harapan (PH) meminta kerajaan mengadakan sidang khas parlimen untuk membincangkan langkah yang diambil termasuk belanjawan tambahan dalam menangani penularan wabak Covid-19.

Dalam satu kenyataan, Majlis Presiden berpendirian bahawa ia wajar dan perlu diadakan sebelum tarikh 18 Mei 2020 yang diumum sebelum ini.

Katanya, satu mesyuarat secara dalam talian diadakan hari ini dan membincangkan pertemuan Presiden Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam.

Katanya, Majlis Presiden dimaklumkan bahawa di dalam perbincangan itu Anwar turut menyentuh mengenai penularan wabak Covid-19 dan keperluan mengadakan sidang parlimen khas.

MATI PUCUK? DAPAT RAWATAN SEGERA… KLIK

“Ini kerana proses semak dan imbang yang merupakan tiang seri demokrasi amat diperlukan, termasuk sewaktu kita memerangi Covid-19.

“Sekiranya kerajaan enggan mengadakan sidang parlimen khas, Majlis Presiden berpandangan sidang mesyuarat pada 18 Mei perlu diadakan selama sekurang-kurangnya dua hari bagi memberi ruang kepada Ahli Dewan Rakyat membahaskan isu berkait wabak ini,” katanya.

Menurutnya, Jawatankuasa Peraturan Mesyuarat Parlimen perlu bertemu segera untuk membincangkan langkah yang perlu diambil bagi menyesuaikan Peraturan-Peraturan Mesyuarat dengan nasihat dan arahan Kementerian Kesihatan Malaysia.

Ia termasuk menjaga keselamatan ahli mesyuarat serta petugas di Parlimen serta mempertimbang kesesuaian mengadakan sidang Dewan secara dalam talian seperti diusahakan di beberapa negara lain.

“Oleh itu, kami turut mencadangkan satu pertemuan diadakan di antara Yang di-Pertua Dewan Rakyat, wakil kerajaan dan Ketua Setiausaha Pakatan Harapan, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bagi membincangkan perkara ini pada kadar segera,” katanya. – myMetro Online

Loading...