Pakar Seismologi Boleh Bantu Negara Hadapi Bencana

JOHOR BAHRU – Kerajaan disyor membangunkan sekumpulan pakar dalam bidang seismologi yang dilatih khusus dalam mengkaji kejadian gempa bumi, tsunami dan gunung berapi.

Dalam mencadangkan perkara itu, Pengarah Pusat Geotropik Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Prof Dr Edy Tonnizam Mohamad berkata ini adalah ekoran daripada aktiviti gunung berapi di negara jiran yang kembali aktif kebelakangan ini.

Cadangan itu dibuat beliau susulan letusan Gunung Anak Krakatoa Ahad lepas sehingga menyebabkan tsunami di sekitar Selat Sunda dan mengorbankan ratusan nyawa.

Menurut Edy Tonnizam, sekitar 135 tahun lalu, letusan Gunung Krakatoa di negara jiran tersebut telah mengorbankan 30,000 nyawa serta turut memberi impak kepada negara di sekitar Indonesia, termasuk Malaysia.

“Dalam keadaan ini, kita nampak ada risiko bencana alam yang bukan sahaja melibatkan gempa bumi dan tsunami yang sering berlaku kebelakangan ini, tetapi juga risiko bencana yang melibatkan gunung berapi,” katanya ketika ditemui di Pusat Geotropik UTM, hari ini.

Edy Tonnizam berkata gunung berapi yang aktif bukan sahaja akan menyebabkan berlakunya tsunami dan gempa bumi, tetapi debu dan gas yang dikeluarkan daripada gunung berapi juga boleh mengancam nyawa.

Menurutnya lagi, kepakaran dalam bidang seismologi boleh membantu meningkatkan persediaan negara dalam menghadapi bencana, selain daripada sistem amaran awal sedia ada yang digunakan untuk bencana tsunami dan gempa bumi.

“Apa yang dicadangkan ialah untuk membangunkan kepakaran dalam bidang seismologi, untuk bangunkan pasukan yang memang dilatih khusus untuk melihat kepada perubahan dan petanda awal (pergerakan bumi di bawah tanah),” katanya lagi.

Beliau berkata kerajaan Indonesia kini juga sedang membangunkan kepakaran sama dan sedang mendapatkan kepakaran dari negara-negara yang pernah mengalami bencana gunung berapi, suatu perkara yang wajar dicontohi Malaysia.

Jelas beliau, letusan Gunung Krakatoa pada 1883 itu mengakibatkan ombak tsunami setinggi 100 meter yang turut menjejaskan Malaysia dan Australia pada ketika itu.

Jika kejadian sama berulang, ia mungkin akan mengakibatkan tsunami yang lebih teruk daripada tsunami yang berlaku pada tahun 2004, katanya.

“Kalau katakan letusan Gunung Anak Krakatoa itu menyamai atau kurang sikit daripada yang berlaku pada 1883, negara juga boleh terjejas,” jelasnya.

Beliau bagaimanapun berkata tempoh untuk berlakunya bencana sama, memakan masa beratus tahun namun Malaysia harus membuat persiapan awal ekoran daripada aktiviti gunung berapi yang aktif di Indonesia kebelakangan ini. – BERNAMA

Loading...