Pak Lah, Najib Punca Kegagalan Wawasan 2020 – Mahathir

KUALA LUMPUR – Pelaksanaan dasar-dasar yang tidak sesuai dengan matlamat asal Wawasan 2020 oleh kerajaan dipimpin Perdana Menteri kelima dan keenam dianggap sebagai punca mengapa wawasan itu tidak mencapai matlamat yang diharapkan.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bagaimanapun tidak menafikan terdapat juga pencapaian dalam bidang-bidang tertentu seperti bilangan profesional kini lebih ramai berbanding dahulu dan pendapatan isi rumah secara perbandingannya telah meningkat.

“Selepas 20 tahun pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB), saya telah mengumumkan Wawasan 2020 yang mengandungi satu pemikiran dan rangka kerja mengenai matlamat Malaysia menjadi sebuah negara maju mengikut acuan sendiri pada tahun 2020. 

“Malangnya, walaupun kita bekerja keras siang dan malam, saya tidak fikir kita boleh mencapainya pada tahun 2020.

“Kegagalan ini berpunca daripada pelaksanaan dasar yang tidak sesuai dengan matlamat asal Wawasan 2020 oleh Kerajaan Perdana Menteri kelima dan keenam,” katanya dalam sesi soal jawab sidang Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Datuk Seri Abdul Hadi Awang, (PAS-Marang) yang bertanyakan mengenai Wawasan Kemakmuran Bersama 2021-2030.

Tambah Perdana Menteri, walaupun ekonomi negara berkembang dalam tempoh berkenaan, pengagihannya tidak seimbang di setiap peringkat kumpulan pendapatan, etnik, wilayah dan rantaian bekalan.

“Ini diburukkan lagi dengan pentadbiran Kerajaan terdahulu yang dicengkam oleh masalah ketirisan, penyalahgunaan kuasa dan rasuah,” katanya.-UTUSAN ONLINE

Loading...