‘Paid Intership’ Atau Latihan Berbayar

1. Dewan Pemuda IKATAN Malaysia menyokong penuh keputusan Kabinet dalam mesyuarat Jemaah Menteri yang mewajibkan pembayaran elaun kepada pelatih (intern). Kewajipan membayar elaun ini akan merujuk kepada pekeliling yang akan dilaksanakan di setiap Kementerian dan Agensi Kerajaan. Berdasarkan kenyataan media, skim pembayaran kepada pelatih akan dinilai mengikut beberapa kriteria yang akan ditetapkan dan ia akan dilaksanakan bagi kemudahan pelatih.

2. Dewan Pemuda IKATAN Malaysia menggesa kerajaan Pakatan Harapan untuk melihat kriteria penting seperti kos pengangkutan, kos penginapan dan perbelanjaan harian bagi pembayaran elaun kepada pelatih. Kerajaan juga harus melihat lokasi tempat latihan, sama ada di kawasan bandar besar atau tidak kerana kos sara hidup makin meningkat. Gesaan juga dibuat kepada kerajaan untuk mewajibkan elaun diberikan kepada pelajar yang terlibat dalam intership di syarikat-syarikat swasta.

3. Dewan Pemuda IKATAN Malaysia berharap pemimpin muda Pakatan Harapan tidak lupa kepada janji Manifesto Pakatan Harapan setelah mengutarakan isu elaun berbayar ini. Kita menggesa Pakatan Harapan untuk menunaikan janji manifesto dahulu, iaitu isu PTPTN, pendidikan percuma, peluang pekerjaan dan gaji minimum. Ramai graduan yang masih terpinggir disebabkan pengangguran dan tersepit disebabkan kos sara hidup yang meningkat tinggi. Ingat, harga barangan masih tinggi walaupun SST diperkenalkan. Ada juga barangan yang lebih mahal sekarang jika dibandingkan dengan harga ketika GST.

4. Persoalannya sekarang, manakah yang lebih penting, elaun pelatih atau janji manisfesto Pakatan Harapan kepada anak muda? Dewan Pemuda IKATAN Malaysia melihat semakin banyak lontaran idea baru daripada Menteri, semakin terpinggir manisfesto yang diperjuangkan untuk anak muda (kononnya). Jangan yang dikejar tidak dapat, yang dikendong keciciran!

Demi Bangsa Malaysia! #SelamatkanMalaysia

Shahir Adnan
Ketua Dewan Pemuda IKATAN Malaysia,
Pemuda Gagasan Sejahtera

Loading...