Pahang Negeri Paling Lama Tidak Naik Tarif Air

KUANTAN – Pahang merupakan antara negeri paling lama tidak menaikkan tarif air dengan kali terakhir berbuat demikian pada Januari 1983.

Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Asas, Sistem Penyampaian Awam dan Inovasi, Datuk Seri Norol Azali Sulaiman berkata, perkara itu berlaku kerana kerajaan negeri mahu memastikan rakyat dan pengguna industri dapat membayar perkhidmatan bekalan air bersih pada kadar yang mereka mampu.

“Jika boleh, kerajaan negeri ingin menyediakan perkhidmatan air secara percuma kepada rakyat… tetapi dalam masa yang sama, kita faham keadaan memerlukan kenaikan tarif air ini,” katanya semasa sesi soal jawab persidangan penggal kedua Dewan Negeri Pahang di Wisma Sri Pahang di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan yang dikemukakan Young Syefura Othman (DAP-Ketari) yang bertanyakan mengenai proses kenaikan tarif air di Pahang.

Menjelaskan tentang perkara itu, Norol Azali berkata, kaedah penetapan tarif air sangat teknikal dan melibatkan satu kaedah penetapan tarif yang optimum dengan mengambil kira aspek-aspek yang dapat mengupayakan syarikat Pengurusan Air Pahang (PAIP) untuk membolehkannya beroperasi dalam jangka masa pendek dan panjang.

Norol Azali berkata, antara cadangan tawaran skim Penstrukturan Semua Industri Air Perkhidmatan Bekalan Air daripada Kerajaan Persekutuan kepada kerajaan negeri Pahang ialah untuk menaikkan tarif air pada tempoh serta kekerapan yang diputuskan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) melalui Tarif Setting Mechanism (TSM) yang dibangunkan oleh SPAN.

TSM bertujuan untuk menyeragamkan dan menyelaraskan tarif air di seluruh negara.

“Melalui proses penyelarasan ini, operator air di seluruh negara dapat menjana pendapatan yang mencukupi bagi menampung perbelanjaan operasi dan akan dapat meningkatkan penyampaian perkhidmatan kepada pengguna,” katanya.

Loading...