Pahang Kesan 225 Lokasi Berpotensi Ada Sisa Toksik

KUANTAN – Sebanyak 225 kawasan di negeri ini terutama kilang-kilang sama ada yang beroperasi secara haram atau sebaliknya dikenal pasti berpotensi mempunyai sisa-sisa pembuangan toksik berdasarkan maklumat menerusi pemantauan teknologi remote sensing atau penderiaan jauh yang dijalankan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar dan Perladangan negeri, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsuddin berkata, kawasan paling tinggi mempunyai kebarangkalian berkenaan ialah Kuantan sebanyak 69 lokasi diikuti Jerantut (67 lokasi), Cameron Highlands (28 lokasi), Temerloh (26 lokasi), Bentong (tujuh lokasi) Bera dan Pekan (masing-masing enam lokasi), Raub (lima lokasi), Lipis dan Rompin (masing-masing empat lokasi) serta Maran tiga lokasi.

“Lokasi kebarangkalian ini sama ada haram atau sebaliknya diperoleh menerusi maklumat yang kita dapat menerusi teknologi remote sensing. Secara luaran kita tidak tahu kerana kilang-kilang ini tertutup namun penggunaan teknologi penderiaan jauh yang kita jalankan menunjukkan seolah-olah ada pembuangan sisa toksik di kawasan berkenaan.

“Kesemua kawasan ini dipantau dari semasa ke semasa dan operasi bersepadu akan dilakukan oleh unit penguatkuasaan di bawah Jawatankuasa Pemantauan Pelupusan Buangan Berbahaya Pahang dengan penglibatan semua jabatan berkaitan sama ada di peringkat negeri atau Persekutuan,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa itu di sini hari ini.

Yang hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Dr. Sallehuddin Ishak dan wakil-wakil jabatan terlibat.

Menurut Mohd. Sharkar, Pahang merupakan negeri pertama yang menubuhkan Jawatankuasa Pemantauan Pelupusan Buangan Berbahaya selepas diluluskan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada Mei lepas.

Katanya, penubuhan jawatankuasa itu bagi memastikan tindakan segera dapat diambil jika berlaku sebarang perkara yang melibatkan soal pembuangan sisa berbahaya khususnya dalam industri perkilangan.

“Jawatankuasa ini ditubuhkan kerana hendak memastikan bahawa kita tahu di mana punca kuasa untuk kita mengambil tindakan.

“Kita akan mengadakan operasi bersepadu dan Setiausaha Kerajaan Negeri sudah menyediakan unit penguatkuasaan yang mana segala penguatkuasaan tertakluk di bawahnya,” katanya.

Loading...