Pahang Hargai MFL Tunda Perlawanan Liga Super

KUANTAN – Pasukan Pahang menghargai tindakan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) menangguhkan perlawanan Liga Super berdepan Felda United di Kuantan Sabtu ini bagi menghormati kemangkatan Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah semalam.

Pengurus pasukan Pahang, Datuk Mohammed Suffian Awang berkata, pihaknya mengucapkan ribuan terima kasih kepada MFL kerana peka dengan situasi semasa yang berlaku dalam negara.

“Tindakan penangguhan perlawanan ini sangat wajar ketika seluruh rakyat Pahang sedang bersedih dengan kemangkatan Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah.

“Seluruh rakyat Pahang juga sedang berkabung dan tidak ada majlis rasmi atau keraian dijalan dalam tempoh tiga hari selepas kemangkatannya,” katanya hari ini.

Menurutnya, kemangkatan Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah amat dirasai oleh pasukan Pahang dan penyokong setia Tok Gajah.

“Terlalu banyak sumbangan Almarhum Paduka Ayahanda dalam pembangunan bola sepak Pahang dan Malaysia yang akan kita kenang sampai bila-bila,” jelasnya.

Semalam, MFL mengeluarkan kenyataan mengenai penangguhan perlawanan berkenaan sehingga pada satu tarikh yang akan diumumkan kelak.

Pada masa yang sama, MFL mengarahkan agar upacara bertafakur selama satu minit dilakukan di stadium lain yang akan melangsungkan perlawanan ke-15 itu.

Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah disahkan mangkat pada pukul 8.50 pagi semalam di Institut Jantung Negara (IJN) Kuala Lumpur. – K! ONLINE