Pahang Cuti 30, 31 Julai

KUANTAN – Pahang memutuskan 30 dan 31 Julai ini sebagai hari kelepasan am di negeri ini sempena Hari Keputeraan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Hari Pertabalan Seri Paduka sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-16.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, perkara itu dipersetujui pada mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri 12 Jun lepas.

Beliau berkata, memandangkan dua peristiwa berbeza itu jatuh pada hari sama iaitu 30 Julai, maka kerajaan negeri memutuskan untuk turut memberi hari kelepasan am pada 31 Julai.

”Kerajaan negeri membuat keputusan untuk memberikan hari kelepasan am pada kedua-dua hari berkenaan sebagai menandakan mustahaknya peristiwa itu,” katanya dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu, beliau berharap penduduk di negeri ini dapat menghargai dan menggunakan cuti umum itu dengan sewajarnya.

Al-Sultan Abdullah yang diputerakan pada 30 Julai 1959 di Istana Mangga Tunggal, Pekan dekat sini menggalas tugas sebagai ketua negara menggantikan Sultan Muhammad V yang meletak jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-15 pada 6 Januari lalu selepas memegang tampuk pemerintahan sejak 13 Disember 2016.

Seri Paduka dipilih oleh raja-raja Melayu dalam Mesyuarat Majlis Raja-raja ke-251 (Khas) di Istana Negara pada 24 Januari lepas bagi tempoh lima tahun.

Seri Paduka yang juga Sultan Pahang Keenam dalam era moden melafaz sumpah memegang jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-16 dalam upacara penuh adat istiadat di Istana Negara pada 31 Januari lepas manakala Istiadat Pertabalan disempurnakan 30 Julai ini.