Pahang Bakal Terima RM1.386 Bilion Pelaburan Dari China

KUANTAN – Pahang bakal menerima kemasukan pelaburan dari China berjumlah RM1.386 bilion ekoran termeterainya memorandum persefahaman (MoU) antara kerajaan negeri dengan enam syarikat dari negara tembok besar tersebut. 

Majlis menandantangani MoU itu berlangsung di sebuah hotel terkemuka di Nanning, China hari ini yang disaksikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail. 

Wan Rosdy mengetuai rombongan kerajaan negeri dalam lawatan kerja termasuk ke Taman Perindustrian Qinzhou China-Malaysia (CMQIP) – taman perindustrian berkembar kepada Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China (MCKIP) serta menghadiri China-ASEAN Exposition (CAEXPO) Nanning 2019.

Menurut kenyataan akhbar Pejabat Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar di sini, keenam-enam syarikat terlibat ialah ND Paper (M) Bhd. dengan pelaburan RM522.2 juta yang akan membina kilangnya di Bentong bagi pengeluaran kertas dan palpa serta TNP Power Sdn. Bhd. (nilai pelaburan berjumlah RM341.74 juta) bagi membina kilang di MCKIP untuk penjanaan bersepadu tenaga dan haba.

Syarikat lain katanya, adalah China Travel Service Meizian Company Limited yang melibatkan jumlah pelaburan RM200 juta bagi mewujudkan ‘Eco Tourism City’ di Bukit Tinggi, Bentong dan Zhongxin Resources Regeneration Technology Sdn. Bhd., dengan RM122.48 juta nilai pelaburan bagi projek pengeluaran kertas dan habuk plastik di MCKIP.

“Dua lagi syarikat adalah, Wuxi Jinxie Industrial Company Limited, nilai pelaburan RM100 juta bagi projek pembinaan turbin angin berkelajuan rendah untuk menjana tenaga 800kw di Pulau Tioman, Rompin dan Power China Construction Group, nilai pelaburan RM100 juta juga bagi pembinaan kilang pengeluaran panel solar untuk kediaman di Kawasan Perindustrian Gebeng, Kuantan,” katanya kenyataan itu hari ini.

Wan Rosdy dalam kenyataan tersebut bersyukur dengan pencapaian itu yang dengannya, pasti memberi impak sosio-ekonomi yang besar kepada negeri dan rakyat Pahang.

“Saya mengharapkan ialah agar MoU yang ditandatangani hari ini, dapat diterjemahkan secara realitinya kelak. Ini seperti mana lapan daripada 11 MoU yang ditandatangani di Singapura awal Ogos lalu, yang telah pun pada peringkat akhir untuk dilaksanakan, insya-Allah,” katanya lagi. 

Sebelum itu, Wan Rosdy membuat kunjung hormat ke atas Gabenor, Wilayah Autonomi Guangxi Zhuang, Chen Wu di pejabatnya. 

Banyak perkara dibincangkan pada sesi kunjung hormat itu termasuklah cadangan mengadakan penerbangan terus Kuantan-Nanning yang dengannya dijangka dapat memendekkan lagi masa, serta menambah-mudah sehingga boleh membanyakkan lagi kunjungan oleh rakyat antara kedua-dua bandar. – UTUSAN ONLINE

Loading...