Padah Maki, Ludah Pekerja Selepas Ditegur Langgar SOP

IPOH – Polis menahan lelaki yang hampir mencetuskan pergaduhan berbaur perkauman di kedai runcit dekat Lahat, di sini.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz, berkata, suspek berusia 47 tahun itu ditahan Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh, 8.45 malam tadi susulan laporan pekerja wanita di kedai itu pada 2.50 petang semalam.

Katanya, laporan yang dibuat wanita itu adalah rentetan daripada tindakan suspek yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ketika memasuki premis berkenaan, 8.40 malam kelmarin. 

“Apabila ditegur, suspek mengeluarkan kata makian serta meludah wanita itu sehingga pergaduhan hampir tercetus. Bagaimanapun ianya sempat dihalang oleh seorang lagi pekerja kedai itu selain video yang sempat dirakam ketika insiden mula ditularkan.

“Suspek ditahan selama 24 jam bagi membantu siasatan dengan dia turut mengaku berada dalam keadaan mabuk sewaktu kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan serta Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 iaitu mencetuskan pergaduhan secara gempar di tempat awam selain bekelakuan aib. 

A Asmadi berkata lagi, pemeriksaan turut mendapati suspek memiliki tiga rekod jenayah lampau dengan tindakan kompaun turut dikenakan terhadapnya kerana melanggar SOP PKPB.

“(Penahanan suspek menyebabkan) kes ini dianggap selesai. Bagaimanapun orang awam dinasihatkan untuk tidak menularkan (lagi) rakaman kejadian itu memandangkan ia boleh mendatangkan kemudaratan dan menggugat keharmonian antara kaum,” katanya. – myMetro Online