P/Raya PBT: Pihak Berkenaan Disaran Rujuk Kerajaan Selangor

SHAH ALAM – Pihak yang berkenaan disaran merujuk kepada kerajaan Selangor terlebih dahulu berhubung menjadikan Shah Alam sebagai kawasan uji kaji pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT).

Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Borhan Aman Shah berkata ini kerana perkara berkenaan melibatkan kesejahteraan rakyat Selangor.

“Saya berharap agar semua pihak lebih bertanggungjawab sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan yang melibatkan kesejahteraan rakyat Selangor, kerajaan negeri amat komited untuk meningkatkan sosioekonomi rakyat di samping mengekalkan kesentosaan negeri ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai respons terhadap kenyataan Menteri Wilayah yang juga Anggota Parlimen Shah Alam Khalid Abdul Samad mahu menjadikan Shah Alam sebagai kawasan uji kaji pilihan raya PBT.

Mengulas lanjut, Borhan berkata cadangan Khalid itu juga melibatkan banyak pihak termasuk penjawat awam.

“Kedudukan Khalid selaku Anggota Parlimen kawasan tersebut diakui, justeru adalah bersesuaian seperti yang saya nyatakan di atas agar beliau merujuk kerajaan negeri terlebih dahulu,” katanya.

Menurut Borhan, Menteri Besar Amirudin Shari juga mengambil maklum akan saranan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad agar tidak dilaksanakan pilihan raya PBT selain menyambut baik usaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang mahu menjalankan kajian komprehensif berkaitan perkara itu.

Semalam, Khalid dilaporkan berkata pilihan raya PBT boleh dimulakan di Shah Alam kerana penduduk di kawasan itu dalam persekitaran yang selesa serta tiada ruang untuk memainkan isu kaum. – BERNAMA

Loading...