Osman Sapian Letak Jawatan Menteri Besar Johor

KUALA LUMPUR – Datuk Osman Sapian meletakkan jawatan Menteri Besar Johor semalam, kata Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Bercakap kepada wartawan di lobi Parlimen sebentar tadi, Dr. Mahathir berkata, Osman menyerahkan surat peletakan jawatan semalam iaitu hari yang sama bekas menteri besar Johor itu bertemu dengannya di Putrajaya semalam.

Kata Perdana Menteri, beliau menerima peletakan jawatan tersebut walaupun tidak mengetahui sebab sebenar Osman berbuat demikian.

Beliau berkata, telah ada beberapa nama dicadang untuk menggantikan Osman dan pengumuman mengenainya akan dibuat dalam masa terdekat.

Katanya, yang pasti calon Menteri Besar Johor itu juga dalam kalangan ahli BERSATU seperti mengikut perjanjian Pakatan Harapan (PH).

“Beliau telah meletak jawatan semalam dengan menyerahkan surat kepada saya semalam dan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

“Buat sementara waktu, Johor tidak ada MB, (mungkin) kita akan lantik sama ada pemangku.

“Mengenai siapa penggantinya, kita belum tentukan tetapi mengikut perjanjian PH Menteri Besar Johor hendaklah terdiri daripada Bersatu. Kita ada tiga, empat calon tetapi belum tentukan lagi,” katanya.

Walaupun diasak berkali-kali punca Osman meletak jawatan, Dr. Mahathir tetap menegaskan beliau tidak tahu dan menerima keputusan tersebut tanpa sebarang bantahan.

“Beliau mahu letak jawatan, kita terima sahaja,” tegasnya.

Osman mula terpalit dengan kontroversi apabila beliau dikaitkan dengan isu sijil palsu serta tindakannya pergi ke Batam ketika ribuan warga Johor terjejas oleh pencemaran di Sungai Kim Kim.

Beliau juga dikatakan gagal membentangkan pelan pembangunan serta tindakan ekonomi sehingga menyebabkan Sultan tidak ‘berpuas hati’.

Antara beberapa nama yang bertiup kencang menggantikan Osman termasuk Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian negeri, Dr. Sahruddin Jamal (BERSATU) yang hadir ke Pemukiman Pemimpin Malaysia Singapura di Putrajaya hari ini selaku wakil rasmi.

Selain beliau, turut disebut nama Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kebudayaan, Mohamad Kuzzan Abu Bakar merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Semerah dari PKR. – MalaysiaGazette

Loading...